UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Pembukaan PKRC di UMT tidak ancam keselamatan warga, komuniti

Pembukaan PKRC di UMT tidak ancam keselamatan warga, komuniti

Monday, 31/05/2021

Share This Article :

KUALA NERUS – Komuniti sekitar kampus Universiti Malaysia Terengganu (UMT) diingatkan supaya tidak perlu bimbang dengan penubuhan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Kampus universiti itu.

Ia setelah pihak kerajaan memutuskan untuk menempatkan pesakit Covid-19 berisiko rendah di blok asrama pelajar universiti tersebut.

Pengarah PKRC UMT, Dr. Muhammad Lutfil Zulkafa berkata pembukaan PKRC itu tidak mendedahkan risiko jangkitan kepada warga UMT dan juga komuniti setempat.

“Pemilihan kampus UMT sebagai PKRC adalah tepat setelah dibuat beberapa penilaian risiko dan akses.

“Kampus pelajar mempunyai tahap keselamatan yang agak ketat serta laluan bagi kenderaan petugas PKRC dan ambulans adalah berbeza dengan laluan kenderaan kakitangan UMT. Penubuhan PKRC ini langsung tidak mengganggu perjalanan atau operasi UMT kerana kita menggunakan pintu pagar khas, laluan khas, blok asrama khas yang dikawal rapi.

Beliau berkata, pada masa sama, pihaknya sudah memasang kawad berduri di kawasan sekitar PKRC itu bagi memastikan tidak ada perlanggaran SOP atau pencerobohan di blok tersebut.

Menurutnya, semua pesakit akan dipastikan berada di dalam dewan PKRC sahaja serta tidak dibenarkan berkeliaran di kawasan luar dan pihaknya telah memasang penghadang fizikal melalui kerjasama JKR untuk memastikan bahawa tiada perkumpulan antara pesakit sepanjang rawatan tersebut” Ujar beliau ketika program Bicara Khas: PKRC@UMT yang berlangsung di Anjung Alumni UMT.

Turut hadir sebagai panel ialah Dr. Saifur Rahman Muhammad, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu.

Dr. Saifur juga menyarankan masyarakat agar mematuhi SOP yang sedang berkuatkuasa dan juga sentiasa mengamalkan norma baharu.

“Kita masih lagi berdepan dengan pandemic Covid-19. Saya sarankan masyarakat terutamanya warga UMT untuk terus patuh kepada SOP.

“Seeloknya kakitangan UMT membuka tingkap di pejabat agar pengudaraan lebih baik berbanding penggunaan pendingin hawa yang selalunya mempunyai system kitaran udara yang sama (tertutup) dan ini juga boleh meningkatkan risiko jangkitan melalui udara selain daripada titisan. Katanya.

 

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu