UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Waspada skim pelaburan tidak wujud

Waspada skim pelaburan tidak wujud

Sunday, 05/11/2023

Share This Article :

Kedudukan kewangan yang stabil mampu memberikan nilai kehidupan yang lebih baik kepada sesebuah keluarga dan masyarakat. Desakan hidup ketika ini atas pelbagai faktor meletakkan wang sebagai sumber utama bagi mengisi segala ruang lingkup kehidupan seperti kesihatan, pengangkutan, pendidikan, perumahan dan sebagainya.
 
Kewangan yang kukuh juga membantu keluarga menghadapi krisis yang tidak dijangka seperti penyakit, kehilangan pekerjaan mahupun bencana alam. Hal ini memberikan rasa keyakinan dan keupayaan untuk menghadapi cabaran-cabaran yang mungkin timbul diluar jangkaan.
 
Namun, wang juga membuka ruang jenayah penipuan atas talian yang telah merugikan jutaan ringgit. Pelbagai kaedah yang digunakan oleh penjenayah siber sebagai modus operandi bagi mencuri wang dalam akaun pemilik. Kebanyakan antara mereka yang terpedaya adalah golongan yang kurang peka dengan teknologi serta tidak terdedah dengan perkembangan semasa seperti warga emas, penduduk pedalaman dan sebagainya. 
 
Kempen kesedaran terhadap bahaya jenayah siber atau ‘scam’ perlu dilakukan secara berterusan dan lebih meluas dalam usaha menyelamatkan wang simpanan yang lebih diperlukan seseorang ketika usia senja.
 
Usaha itu telah dilaksakan oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui program kerjasama dengan syarikat berkaitan saham terbesar di ASEAN iaitu Bursa Malaysia. 
 
Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Ghaffar  berkata Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang termasuk kewangan menyokong usaha menyebarluaskan kempen kesedaran berkaitan pengurusan kewangan serta pelaburan.
 
“Kita sering dilaporkan dengan kes penipuan pelaburan melalui pelbagai kaedah termasuk secara atas talian. Kebanyakan skim penipuan menawarkan peluang pelaburan yang tidak wujud serta menjanjikan pulangan yang sangat menarik dan bebas risiko dalam jangka masa yang singkat.
 
Bagaimanapun katanya, kedudukan kewangan yang stabil penting bagi mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan dalam sesebuah keluarga dan masyarakat.
 
“Kedudukan kewangan yang kukuh bagi individu atau keluarga penting dalam mewujudkan persekitaran kehidupan yang kondusif serta inklusif.
 
“Pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan menyumbang kepada kemajuan dan mewujudkan sokongan kepada Matlamat Pembangunan Mampan iaitu SDG 8 -Pertumbuhan Ekonomi Dan Pekerjaan Yang Baik – Menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang berterusan, inklusif dan mampan, gunatenaga penuh dan produktif serta kerja yang bersesuaian untuk semua.
 
Teks ucapan beliau dibaca oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Ts. Dr. Zamri Ibrahim bagi mewakilinya sempena Majlis Perasmian Pembukaan Karnival Saham Terengganu bertempat di Dewan Sultan Mizan UMT baru-baru ini.
Turut hadir ke karnival sehari itu iaitu Ketua Pembangunan Pelaburan Bursa Malaysia, Stephanie Tan Kar Mun serta pegawai-pegawai daripada Bursa Malaysia dan juga UMT.
Menurut Dr. Mazlan, penganjuran itu juga bagi menyokong usaha UMT memperkasakan pelajar melalui program Industry in Classroom sebagai nilai tambah kepada proses pengajaran dan pembelajaran.
 
“Selain itu, program seperti ini bertepatan dengan UMT memandangkan UMT mempunyai program yang amat berkait rapat kewangan dan pelaburan yang dijalankan ini, iaitu program Sarjana Muda Sains (Matematik Kewangan) dengan Kepujian di Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Kelautan dan Informatik (FTKKI) dan Sarjana Muda (Kewangan) dengan Kepujian.
 
“Dengan kehadiran pihak industri pada hari ini, kita mengambil peluang ini untuk melaksanakan aktiviti Industry in classroom. Aktiviti ini adalah bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai kemahiran-kemahiran yang diperlukan oleh pihak industri setelah mereka memasuki alam pekerjaan yang sebenar”. Katanya.