UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Belanjawan 2022 bantu rakyat bangkit pasca Covid-19

Belanjawan 2022 bantu rakyat bangkit pasca Covid-19

Tuesday, 26/10/2021

Share This Article :

Pandemik COVID-19 telah mengorbankan lebih empat juta orang diseluruh dunia dan angka jangkitan terus meningkat mencecah 240 juta orang.

Penularan di Malaysia pula mula menunjukkan penurunan dan data ketika artikel ini ditulis menunjukkan sejumlah 4,782 jangkitan baharu menjadikan jumlah kes kumulatif sebanyak 2,436,498.

COVID-19 juga memberi kesan langsung kepada pelbagai sector dan industri. Akibat daripada bencana besar ini telah mengubah status ramai orang serta memporakperandakan kehidupan.

Dari sudut kewangan, masyarakat Malaysia umumnya rata-rata merasai tempias daripada kemerosotan ekonomi. Banyak sector pekerjaan yang terpaksa dihentikan sejak bermulanya serangan COVID-19 pada awal tahun lalu.

Sebagai contoh, industry pelancongan dan pengusaha yang berkait rapat dengan penganjuran majlis boleh dikatakan tidak dapat beroperasi. Bagaimana jika pasangan yang mencari rezeki dalam sector yang sama?

Untuk keluar daripada cengkaman COVID-19 suatu perkara tidak mudah. Sememangnya ada yang berjaya menceburi bidang baharu dan mampu menjana pendapatan lebih baik berbanding sebelum era pandemic, namun bilangannya tidak besar.

Ramai yang menantikan pembentangan Bajet 2022 yang dijadualkan pada 29 Oktober 2021. Jika diamati, rata-rata mengharapkan pelbagai bantuan atau insentif khas untuk golongan yang terjejas. Pihak Kementerian Kewangan Malaysia juga menyatakan tiga tumpuan bajet pada kali ini iaitu Melindungi dan Memulih Kehidupan serta Mata Pencarian, Membina Semula Daya Ketahanan Negara dan Memangkin Pembaharuan.

Pasca pandemic memperlihatkan kepentingan penggunaan teknologi dan media baharu yang tiada sempadan. Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan oleh Perdana Menteri tahun lalu, bidang perniagaan seperti pasar malam, car-boot sale, pakaian bundle dan lain-lain yang bukan dalam kategori perkhidmatan perlu telah mengalami kemerosotan. Namun dengan adanya teknologi dan platform atas talian, pengusaha-pengusaha giat mempromosikan barangan jualan mereka melalui platform digital seperti mengadakan Facebook Live, Youtube Live, Instagram Live dan lain-lain. Dengan perubahan ini juga membolehkan peniaga-peniaga kecil kembali ‘bernafas’.

Belanjawan 2022 juga harus memberi tumpuan berkaitan ICT. Jika dilihat sepanjang sesi persekolahan yang dilaksanakan secara maya, ramai ibu bapa terutamanya golongan B40 yang mengeluh kerana tidak dapat menyediakan peralatan yang secukupnya kepada anak-anak. Sebagai contoh, keperluan asas untuk pembelajaran secara maya adalah telefon pintar, computer riba, tablet, ipad dan lain-lain. Tetapi perkara asas yang perlu ada ialah jaringan internet (pelan data) yang mencukupi. Sekiranya pasangan yang terjejas teruk sumber pendapatan, bagaimana untuk mereka menyediakan keperluan tersebut jika mempunyai tiga orang anak yang bersekolah? Kerajaan juga peka akan masalah ini dan telah mewujudkan pelbagai insentif dan juga pelan jaringan internet, namun masih tidak mencukupi.

Selain itu, Ibu bapa juga mengutamakan aspek penjagaan kesihatan dan keselamatan anak-anak. Kehidupan norma baharu memaksa semua orang untuk mempersiapkan kit untuk mencegah daripada terkena jangkitan COVID-19. Antara kos yang perlu ditanggung oleh ketua isi rumah seperti pembelian pelitup muka, pelindung muka, cecair pembasmi kuman dan terbaharu kit ujian kendiri (Saliva Self-test). Penjagaan kesihatan dan keselamatan amat penting dan perkara ini tidak boleh dikompromi kerana ia mampu memberi kesan besar serta mampu melumpuhkan system kesihatan dan keselamatan negara.

Rakyat Malaysia tidak kira peringkat umur amat mengharapkan belanjawan 2022 yang bakal dibentangkan memberi ‘keselesaan’ secara inklusif dari aspek ekomi, pendidikan, keselamatan, kesihatan, social dan lain-lain bagi menempuh fasa pasca pandemic yang menuntut semua orang untuk bersabar, cekal, usaha tanpa putus asa.

 

Disediakn oleh :

 

Amirul Salam Hasan

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

Tel : 019-5665395

Emel : amirulsalam@umt.edu.my

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu