UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Program Suspended Meal khas bantu pelajar UMT dapat sumbangan Co-Op Bank Pertama

Program Suspended Meal khas bantu pelajar UMT dapat sumbangan Co-Op Bank Pertama

Monday, 22/03/2021

Share This Article :

Program makanan percuma untuk warga pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang diasaskan lebih lima tahun lalu mendapat perhatian daripada Co-Op Bank Pertama selepas pihak berkenaan tampil untuk memberi sumbangan berbentuk barangan makanan.

Bantuan itu dilihat semakin diperlukan ekoran negara mengalami krisis menangani wabak Covid-19 yang secara tidak langsung memberi kesan kepada pendapatan kebanyakan ahli keluarga mahasiswa.

Justeru itu, Naib Canselor UMT, Prof. Dato’. Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, program pemberian makanan percuma atau Food Bank sangat membantu dalam meringankan beban pelajar khususnya bagi penuntut kurang berkemampuan.

“Isu penuntut terpaksa mengikat perut kerana kekangan kewangan tidak berlaku lagi di kampus selepas program pemberian makanan percuma kepada penuntut UMT melalui Act of Kindness (AOK) dan Gerobok Rezeki (GR) diperkenalkan“

“AOK-GR Corner mendapat sokongan dan kerjasama bersama Koperasi Mahasiswa UMT Berhad (KOSISWA UMT) dan Kolej Kediaman dalam menyediakan infrastruktur untuk sukarelawan beroperasi bagi menyediakan makanan dan minuman secara percuma kepada pelajar dalam kampus.

Melalui program itu, makanan seperti nasi lemak, mi goreng dan kuih muih disediakan secara percuma untuk penuntut UMT yang memerlukan.

“AOK-GR telah mengambil satu lagi inisiatif dengan mengadakan jalinan kerjasama antara pihak kafetaria untuk menjayakan satu lagi projek yang dikenali ‘Suspended Meal’.

“Konsep Suspended Meal ialah makanan yang disediakan telah dibayar oleh penyumbang yang budiman dan para pelajar yang memerlukan boleh mendapatkan makanan serta minuman secara percuma, bergantung kepada pengurusan pembekal sehingga sumbangan tersebut telah habis diagihkan.

“Ditambah hari ini pula pihak Co-Op Bank Pertama juga menyokong usaha murni ini dengan memberi sumbangan berbentuk pek makanan dan juga barangan kering khas kepada pelajar.

Ujar beliau lagi, pihak UMT berterima kasih atas sikap prihatin pihak Co-OP Bank Pertama dan mengalu-alukan pihak-pihak lain atau NGO untuk menghulurkan bantuan kepada mahasiswa yang terkesan khususnya ketika pandemik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Co-OP Bank Pertama memuji inisiatif yang dilakukan oleh pihak UMT dalam membantu pelajar.

“Pada hari ini pula, CBP akan berkongsi rezeki dengan UMT sebagai tanda keprihatinan kami dengan mahasiswa dan juga mereka yang memerlukan. Apa yang saya lihat, projek Act of Kindness dan Gerobok Rezeki (AOK-GR) ini merupakan satu projek yang murni.

“Inisiatif-inisiatif yang dilakukan seperti Gerobok Rezeki dan suspended meal  ini amat menarik perhatian kami di CBP di mana ianya menyasarkan pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan. Diharapkan sumbangan kecil dari CBP ini dapat membantu dan meringankan beban mereka”. Katanya.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu