UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

RAYA SAMA-SAMA, KONGSI JUADAH RAYA UMT

RAYA SAMA-SAMA, KONGSI JUADAH RAYA UMT

Thursday, 28/06/2018

Share This Article :

KUALA NERUS, 28 Jun – Bersempena Hari Raya Aidilfitri 1439H yang disambut pada 9 Jun baru-baru ini, Universiti Malaysia Terengganu turut mengadakan sambutan aidilfitri diperingkat universiti bagi meraikan kemeriahan bulan kemenangan umat islam setelah menjalani bulan ibadah selama sebulan dengan penuh rasa keinsafan dan kesyukuran.

Majlis sambutan yang diadakan di Dewan Sultan Mizan itu turut dinikmati oleh semua bangsa tanpa mengira latar belakang agama demi mengeratkan ukhuwah dalam kalangan warga UMT disamping mempromosikan kesucian nilai islam kepada penganut agama lain.

Dengan mengetengahkan tema Raya Sama-sama: Kongsi Juadah Raya dan Aidilfitri Lestari, pengurusan universiti mempelawa kepada semua warga untuk membawa masing-masing seperti potluck sebagai juadah tambahan kepada menu-menu utama yang disediakan oleh pihak pengurusan.

Bagi usaha mengekalkan kampus lestari, pengurusan UMT turut mengambil langkah dengan mengetengahkan konsep Bring Your Own yang mana semua warga perlu membawa bekas makanan masing-masing bagi mengelakkan penggunaan bekas polisterina yang tidak terkawal yang akhirnya menyumbang kepada kecacatan ekosistem alam sekitar.

Sambutan kali ini dimeriahkan lagi dengan penyertaan kira-kira lebih 140 anak-anak yatim dan golongan asnaf daripada SK Kompleks Gong Badak, SK Mengabang Telipot, SK Tanjung Gelam dan SK Teluk Ketapang untuk bersama-sama menikmati pelbagai juadah yang disediakan oleh pihak UMT agar kewujudan UMT turut dirasai oleh segenap lapisan masyarakat setempat.

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr Nor Aieni Mokhtar berkata sambutan Aidilfitri UMT kali ini agak berbeza dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum yang mana semua warga UMT digalakkan membawa juadah secara potluck sebagai tambahan kepada juadah utama dan memperkenalkan konsep “Bring Your Own (BYO)” dimana warga UMT perlu membawa bekas makanan sendiri untuk menjamu selera, secara tidak langsung menyokong polisi yang terkandung dalam Blueprint Kampus Lestari UMT.

“InsyaAllah sambutan aidilfitri akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang dengan mengekalkan konsep “Rumah Terbuka PTj” dimana setiap PTj menyediakan juadah yang berlainan supaya kepelbagaian citarasa ini boleh dinikmati oleh semua tetamu dalam keadaan teratur”.

Turut hadir menyempurnakan majlis ini ialah Dato’ Mohammed Azlan Hashim, Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, rakan-rakan strategik UMT, warga UMT dan komuniti sekitar.

 

                                                                                                            Dikeluarkan oleh :

 

                                                                             Pusat Komunikasi Korporat

                                                                             Universiti Malaysia Terengganu

                                                                             Tel : 09-688 4418

                                                                             Emel : rozita.alias@umt.edu.my