UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Penternakan madu kelulut tingkat taraf hidup

Penternakan madu kelulut tingkat taraf hidup

Tuesday, 23/1/2024

Share This Article :

Madu mempunyai pelbagai khasiat dan digunakan dalam penjagaan kesihatan dan juga rawatan penyakit. Ia juga dijadikan bahan suplemen sesetngah masyarakat yang mengutamakan penjagaan kesihatan.

Pakar lebah kelulut Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dr. Shamsul Bahri Abd Razak menjelaskan bahawa madu lebah kelulut mempunyai khasiat yang lebih tinggi berbanding madu lebah biasa. Ia mempunyai antioksida yang berfungsi untuk mencegah aktiviti radikal yang boleh menyebabkan keradangan serta rendah indeks glisemik (GI) dan tinggi kandungan gula ‘trehalulosa’ bermanfaat kepada kesihatan manusia.

Madu kelulut juga boleh dijadikan bahan asas dalam penghasilan pelbagai produk hiliran seperti sabun, gel balm, kosmetik, bar tenaga, kopi kelulut, gula-gula dan coklat.

Pengusaha madu kelulut, Noraini Othman, 53, menganggap bongkah koloni kelulut yang dihadiahkan oleh anak sulungnya menjadi pencetus perubahan dalam keluarga.

“Saya tertarik dengan seorang penjual madu kelulut yang perkenalkan produk tersebut beberapa tahun dahulu. Selepas itu, terdetik dalam fikiran untuk mengetahui lanjut berkaitan madu lebah kelulut dan cara penternakannya.

“Kemudian, anak sulung telah hadiahkan blok koloni lebah kelulut untuk saya berjinak-jinak dalam penternakan madu kelulut.

Menurutnya, program pemindahan ilmu UMT berkaitan penternakan lebah kelulut amat bermanfaat buat golongan sepertinya.

“Bermula dengan jumlah bongkah sarang yang sedikit, akhinya sekarang dah wujud sekumpulan komuniti di Kg. Sedili Kota Tinggi yang mengusahakan penternakan lebah madu kelulut.

“Walaupun kami hanya orang kampung, hasil ilmu yang dipindahkan oleh penyelidik UMT menjadikan kami sebagai pengusaha madu kelulut yang berjaya.

Katanya, hasil jualan perusahaan produk madu kelulut mencecah RM1,500 sebulan dan secara tidak langsung penternakan madu kelulut yang diusahakan berjaya mengubah taraf ekonomi penduduk sekitar.

Bicara lanjut berkaitan cabaran penternakan, ujar Noraini, penternakan lebah kelulut sangat mudah.

“Ia tidak perlu diberi makan. Hanya jaga kebersihan kawasan sekitar sahaja. Ini yang membuatkan saya lebih bersemangat untuk menambahkan lagi blok koloni kelulut kerana ia tidak memerlukan modal yang besar.

Tambahnya, program pemindahan ilmu seperti itu amat berguna buat golongan sepertinya dan perlu diperluaskan agar dimanfaatkan oleh masyarakat.

“Saya memuji pihak UMT atas usaha dan pendekatan yang dilakukan dalam membantu golongan sepertinya. Kursus yang dianjurkan mudah difahami dan diterjemahkan secara terus melalui bongkah koloni yang disediakan. Ia sangat memudahkan.

“Kami hanya penduduk kampung yang jauh dari bandar besar. Pertanian kecil-kecilan sebagai sumber pendapatan utama. Saya yakin program sebegini perlu diperluaskan agar ia memberi manfaat kepada masyarakat khususnya golongan sepertinya”. Katanya.

 

Disediakan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu