UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

2902 GRADUAN DIRAIKAN SEMPENA MAJLIS KONVOKESYEN UMT KALI KE-17

2902 GRADUAN DIRAIKAN SEMPENA MAJLIS KONVOKESYEN UMT KALI KE-17

Sunday, 17/11/2019

Share This Article :

KUALA NERUS – Majlis konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kali ke-17 menyaksikan seramai 2,902 orang graduan menerima anugerah pengijazahan termasuk dua Anugerah Ijazah Kehormat iaitu YABhg. Dr. Tun Daim Zainuddin dan juga Laksamana (Bersara) Tan Sri Dato’ Seri Panglima Dr. Ahmad Kamarulzaman Bin Hj Ahmad Badaruddin masing-masing penerima Anugerah Ijazah Kehormat Ekonomi dan juga Ijazah Kehormat Pengurusan.

 

Majlis Konvokesyen UMT kali ini berlangsung dengan penuh istiadat dan turut mendapat perkenan Tuanku Sultan dan Sultanah Terengganu yang juga Canselor UMT untuk mencemar duli.

 

Dalam majlis tersebut, Sultanah Nur Zahirah bertitah supaya graduan wanita berusaha mencipta lebih banyak kejayaan dalam bidang akademik, termasuk program penyelidikan ke arah memartabatkan golongan itu sambil menyatakan rasa bangga terhadap pencapaian dua penyelidik wanita UMT yang mendapat pengiktirafan baru-baru ini. 

 

Turut diraikan pada majlis itu penerima Anugerah Pelajar Diraja, Anugerah Pingat Emas Canselor, Anugerah Pro Canselor, Anugerah Pengarah LPU dan Anugerah Naib Canselor.

 

Prof. Dato’ Dr. Aieni Mokhtar, Naib Canselor UMT dalam ucapannya berkata, kecemerlangan UMT hari ini adalah terhasil daripada penekanan kepada kualiti akademik serta penyelidikan yang dijalankan.

 

“UMT amat memfokuskan pada aspek kualiti akademik khususnya dalam Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), penyelidikan dan penerbitan serta pemindahan ilmu. Hal ini dibuktikan pelbagai pencapaian antaranya kemenangan empat ahli Akademik UMT dalam merangkul seperti Anugerah Akademik Negara (AAN) kali ke-13, bagi kategori Anugerah Pengajaran,  Anugerah Pingat Perkhidmatan Cemerlang (P.P.C) Kementerian Pendidikan Malaysia, Anugerah L’oreal-UNESCO Women in Science National Fellowship dan Anugerah Malaysia’s Research Star Award dan Pengiktirafan Jurnal Creme oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

 

“Dari segi penyelidikan, UMT telah berjaya meraih anugerah dalam bidang penyelidikan ke peringkat antarabangsa. Sehingga bulan Oktober 2019, sejumlah 118 geran penyelidikan diterima dari pelbagai agensi dalam dan luar negara, yang mencatatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM10.3 juta. Hal ini sudah pasti dapat memberi impak kepada industri dan masyarakat, sama ada menerusi penjanaan pendapatan mahupun peningkatan nilai kualiti hidup melalui pemerkasaan Ekonomi Biru. Justeru, kerjasama erat akan diperkukuhkan antara UMT dengan agensi Kerajaan dan pemain industri tempatan dan antarabangsa”.  Katanya

 

 

Turut hadir pada majlis istiadat kovokesyen tersebut ialah Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar Menteri Besar Terengganu dan pasangan beliau Yang Amat Berbahagia To’ Puan Seri Tuan Faizah binti Tuan Ab Rahman, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, YB Setiausaha Kerajaan Terengganu, pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri Terengganu dan Pro-Canselor UMT, YBhg. Tan Sri Samsudin Osman, Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah UMT dan seluruh warga UMT.

 

Dikeluarkan Oleh :

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu