UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Tragedi KRI Nanggala : Negara perlukan keupayaan aset canggih sebagai langkah persediaan

Tragedi KRI Nanggala : Negara perlukan keupayaan aset canggih sebagai langkah persediaan

Tuesday, 27/04/2021

Share This Article :

Baru-baru ini dunia digemparkan mengenai kehilangan sebuah kapal selam yang dimiliki agensi pertahanan Indonesia, KRI Nanggala 402.

Melalui satu sidang media, Hadi Tjahjanto mengesahkan kesemua 53 anak kapal KRI Nanggala 402 disahkan telah meninggal dunia dan tersemadi lebih 800 meter di bawah permukaan air setelah penemuan beberapa bahagian kapal selam seperti kemudi kipas belakang, sauh, bahagian luar badan kapal selam, alat selaman yang terapung serta beberapa bahagian kapal yang lain.

Penemuan tersebut adalah hasil penelitian dasar laut secara visual menggunakan kamera kapal penyelamat kapal selam MV Swift Rescue daripada Singapura. MV Swift Rescue telah melancarkan kenderaan menyelam kawalan kabel tanpa pemandu (ROV) dan telah berjaya mengesan KRI Nanggala pada kedalaman 838 meter di bawah permukaan laut.

Umum mengetahui bahawa KRI Nanggala 402 dilaporkan hilang sejak 21 April yang lepas di Selat Bali. Kapal selam seberat 1395 tan yang membawa 53 orang anak kapal telah dilaporkan terputus hubungan ketika mengadakan sesi latihan pelancaran torpedo. KRI Nanggala-402 yang berusia 44 tahun itu telah dibina oleh syarikat perkapalan Jerman; Howaldtswerkw-Deutsche Werft pada tahun 1977, sebelum diserahkan kepada Angkatan Laut Tentera Indonesia pada tahun 1981.

Berikutan kehilangannya, operasi ‘Search and Rescue’ (SAR) besar-besaran telah dijalankan oleh Kerajaan Indonesia dengan menggerakkan pelbagai aset ketenteraan, khasnya kapal yang dilengkapi dengan alat pengesan sonar dasar laut. Selain itu, Indonesia turut meminta bantuan SAR daripada negara serantau yang memiliki aset kapal penyelamat kapal selam untuk operasi penyelamat laut dalam seperti Singapura, India, Australia dan Malaysia.

Malaysia melalui Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah menggerakkan asetnya, kapal MV Mega Bakti yang berpengkalan di Teluk Sepanggar, Sabah untuk mengesan KRI Nanggala 402. MV Mega Bakti yang mula beroperasi sejak 2013 merupakan sebuah kapal yang dibina khusus oleh Marine Technology Development, anak syarikat Keppel Singmarine untuk operasi SAR sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

Operasi SAR KRI Nanggala 402 telah diketuai oleh Komander Mohd Hairul Fahmy dan dibantu oleh 54 orang anak kapal telah menunjukkan komitmen kerajaan Malaysia dalam menghulurkan bantuan kepada komuniti antarabangsa yang memerlukan. Pelaksanaan operasi SAR ke atas KRI Nanggala 402 dalam masa yang singkat telah membuktikan keupayaan dan ketersediaan TLDM dalam mengatur gerak asetnya dalam aspek pengoperasian.

Secara amnya Malaysia memiliki kelengkapan aset kapal perang dan peronda untuk melindungi perairan Malaysia yang sangat luas. Walaubagaimanapun, operasi SAR KRI Nanggala 402 menunjukkan bahawa terdapat kelemahan yang amat ketara dengan aset yang sedia ada. MV Mega Bakti mempunyai kefungsian utama dalam operasi SAR dan Submarine Escape and Rescue-Intervention namun kemampuan ROV nya hanya maksimum hanya di kedalamaan 400 meter dan tidak sesuai untuk operasi penyelamatan yang kompleks di laut dalam.

Justeru, demi keselamatan dan kesejahteraan negara, kerajaan perlulah mengambil usaha untuk meneliti kembali keupayaan aset TLDM yang sedia ada. Insiden KRI Nanggala 402 telah membuktikan bahawa kapasiti aset TLDM perlu diperkemas dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa supaya ianya benar-benar dapat menjadi nadi pertahanan negara seterusnya mempamerkan kewibawaan Malaysia dalam operasi SAR.

Disediakan oleh :

Dr. Izyan Munirah Mohd Zaideen

Pensyarah

Fakulti Pengajian Maritim

Universiti Malaysia Terengganu

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu