KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menggunakan pendekatan berlainan dalam pengisian program Ihya Ramadan kali ini apabila menganjurkan program Mengaji tanpa Henti bagi tempoh lima hari.

Menurut Pengarah Pusat Islam Sultan Mahmud UMT, Dr. Riswadi Azmi berkata penganjuran itu sebagai usaha mengangkat aktiviti penghayatan Al-Quran seiring dengan Ramadan yang dikaitkan sebagai bulan Al-Quran.

“Sebagai penambahbaikan dan menunjukkan keprihatinan pihak PISM UMT, kita anjurkan program ini sebagai pembacaan Al-Quran terpanjang iaitu Malaysia Book of Records (MBOR). Program ini juga sebagai medium untuk sama-sama tingkatkan amalan bagi merebut ganjaran pahala yang telah dijanjikan Allah SWT.

Tambah beliau, program itu terbuka kepada beberapa kategori kumpulan seperti pelajar sekolah, mahasiswa, warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU), muallaf dan pelajar antarabangsa.

“Alhamdulillah, penyertaan yang sangat luar biasa. Pihak kami telah terima lebih 250 penyertaan pada awal pembukaan. Insyaallah, kita jangkakan hampir 300 penyertaan sehingga tamat nanti.

Sementara itu, Fudhail Iyadh Salman, 8, turut menyertai program Mengaji Tanpa Henti sebagai mewakili kumpulan kanak-kanak.

“Saya amat gembira untuk menyertai program ini setelah dimaklumkan oleh guru. Sokongan padu daripada emak dan ayah merealitikan hasrat saya amat saya bangga. Saya mula belajar al-Quran dengan emak sejak usia tiga tahun.

“Saya harap ini jadi titik permulaan buat saya untuk mendorong saya menjadi seorang huffaz. Sekiranya masih ada program seperti ini, saya hendak baca al-quran lebih panjang lagi dari hari ini”. Ujar beliau yang juga anak sulung dari empat adik- beradik.

Namun, Muhd Yusuf Mohd Azam,23, menawarkan diri untuk menyertai program itu setelah dimaklumkan oleh Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam (PERTIS).

“Saya belajar menggunakan braille sejak usia 8 tahun semasa di sekolah. Memandangkan saya cacat penglihatan sejak lahir, saya mahir menggunakan tulisan braille walaupun membaca al-quran. Saya nak buktikan bahawa kekurangan yang ada pada diri bukan penghalang untuk mendekatkan diri kepada Allah swt”. Katanya.

Semua peserta yang terlibat akan menerima sumbangan cenderamata khas daripada Pusat Islam Sultan Mahmud UMT serta sijil pengiktirafan daripada pihak Malaysia Book Of Records (MBOR).

Program Mengaji Tanpa Henti dijangkakan tamat pada 22 Mei 2019 dan akan dirasmikan oleh YAB Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

019-5665395