UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Pemerkasaan usahawan dalam digitalisasi pemangkin kelestarian perniagaan

Pemerkasaan usahawan dalam digitalisasi pemangkin kelestarian perniagaan

Wednesday, 27/09/2023

Share This Article :

Pembangunan ekonomi negara perlu dinilai sebagai satu isu yang utama. Ini menjadikan insentif dan
program dalam aspek perkembangan serta pengukuhan dalam bidang keusahawanan tidak boleh dipandang mudah dan dilakukan secara bermusim.

Memandangkan bidang keusahawanan merupakan bidang yang penting untuk perkembangan dan kemampanan ekonomi negara, ianya perlu diberi nilai tambah dan ditangani
secara inovatif dan berterusan. Selaras dengan itu, Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) yang diperkenalkan menjadi teraju kepada Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan yang unggul menjelang tahun 2030. Dasar ini menjadi teras untuk pembentukan ekosistem pembangunan keusahawanan secara holistik dan ia juga diharap menjadi pemangkin kepada proses transformasi ekonomi inklusif dan komuniti keusahawanan di Malaysia.

Dasar ini juga disokong sebagai pemangkin kepada pencapaian Malaysia sebagai sebuah negara
yang bersatu, makmur dan bermaruah serta terus membangun secara mampan dengan pengagihan ekonomi yang lebih adil dan inklusif, seterusnya muncul sebagai paksi ekonomi Asia.

DKN mempunyai enam teras strategik dan salah satunya adalah memantapkan keupayaan dan prestasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana. Bagi memastikan objektif dasar ini berjaya, usahawan yang berdaya saing sangat diperlukan untuk memperkasakan ilmu keusahawanan yang sedia ada selari dengan objektif DKN iaitu mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif bagi menyokong agenda pembangunan ekonomi negara yang inklusif, seimbang dan mapan.

Hasrat itu akan tercapai sekiranya para usahawan mempersiapkan diri serta perlu menambah ilmu
pengetahuan terutamanya dari segi pengurusan kewangan dan strategi perniagaan untuk memajukan perniagaan dan menjadikan ‘sumber rezeki’ yang diusahakan lebih mapan.

Strategi untuk memantapkan ilmu keusahawanan perlu berfokus kepada komuniti yang memberi impak besar dalam merancakkan ekonomi negeri.

Justeru, bertepatan dengan slogan ‘Universiti untuk Komuniti’, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memperkenalkan inisiatif dalam membantu memperkasakan komuniti usahawan kecil sekitar negeri Terengganu meningkatkan kemahiran dan strategi perniagaan agar mampu kekal bersaing dalam situasi ekonomi yang tidak menentu masa kini.

“Pemerkasaaan dan pengukuhan keusahawanan di negeri Terengganu dilihat sebagai serampang dua mata, kerana selain meningkatkan taraf ekonomi masyarakat Terengganu, ianya juga berpotensi menyemarakkan aktiviti pelancongan melalui produk berasaskan makanan, produk hiliran dan lain-lain yang unik di negeri berkenaan”. Kata Dr. Siti Nurain Muhmad, Ketua Projek Pengukuhan Pengurusan Kewangan dan Publisiti Digital 2023 yang diadakan di kampus UMT baru-baru ini.

Penganjuran itu melibatkan kira-kira 50 usahawan yang berdaftar sekitar negeri Terengganu yang tampil untuk dibantu dalam mengekalkan kelangsungan perniagaan serta mempelajari ilmu digital dalam perniagaan.

Dr. Siti Nurain berkata, para usahawan perlu diberi pendedahan tentang strategi perniagaan dan juga cara mengurus kewangan dengan baik dan teratur terutamanya bagi mereka yang baharu sahaja memulakan perniagaan.

“Selain itu, perusahaan ini perlu diselarikan dengan arus kemodenan terkini supaya kewujudannya kekal
Relevan dengan gaya hidup semasa.

“Oleh itu, penerapan penggunaan teknologi perlu diberi perhatian oleh semua pengusaha dan jika diamati perkembangan media sosial semakin popular dan dijadikan medium promosi utama
sejak pandemik Covid-19 yang telah melanda dunia pada Mac 2020. Peluang ini perlu dimanfaatkan sebagai pengusaha perniagaan”

Tambahnya lagi, pihak kerajaan setempat perlu menyokong usahawan dengan mewujudkan platform perniagaan serta menambahkan ciri-ciri keunikan kawasan yang berpotensi untuk dijadikan daya tarikan pengunjung.

“Senario yang berlaku dalam negara adalah pengunjung memberi tumpuan kepada lokasi yang menarik serta unik. Ditambah pula lokasi terbabit telah tular di media sosial yang menjadikan lokasi tersebut sebagai tumpuan pengunjung tidak mengira musim.

“Pihak kerajaan setempat juga disaran untuk mewujudkan monumen atau mercu tanda yang unik sebagai usaha menarik kedatangan pelancong domestik”. Katanya.