UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Penampal luka hasil inovasi pelajar UMT rangkul Anugerah Emas dan Anugerah Khas

Penampal luka hasil inovasi pelajar UMT rangkul Anugerah Emas dan Anugerah Khas

Wednesday, 21/09/2022

Share This Article :

Penyelidikan dan inovasi penampal luka yang dijalankan sekumpulan pelajar tahun pertama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya merangkul Anugerah Emas dan Anugerah Khas dalam penganjuran National Innovation and Invention Competition 2022.

PVA healing patch yang dihasilkan merupakan produk penampal luka diekstrak daripada bahan semulajadi yang selamat digunakan kepada semua peringkat umur.

Menurut ketua kumpulan, Mohamad Firdaus Rosli, 19, berkata kumpulannya tidak mengjangkakan kemenangan dan keputusan itu amat mengujakan.

“Alhamdulillah saya sangat bersyukur setelah usaha keras dan bersengkang mata bersama kumpulan dalam menjayakan projek ini.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa kejayaan boleh dikecapi dengan berusaha serta semangat berpasukan antara ahli kumpulan.

“Ada juga ahli kumpulan yang sanggup mengorbankan cuti semester demi menjayakan projek ini.

“Kejayaan ini secara tidak langsung menyuntik semangat kepada kami untuk terus menghasilkan produk inovasi untuk kegunaan bersama.

Sementara itu, Pensyarah UMT, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Sabri Mohd Ghazali yang juga selaku penasihat kumpulan berkata produk inovasi yang dihasilkan itu mempunyai kelebihan tersendiri.

“PVA healing patch ini dihasilkan daripada tumbuhan semulajadi iaitu Sintok. Kulit tumbuhan ini mampu untuk merawat iritasi kulit, jangkitan kulit dan penyakit kulit yang lain.

“Hasil inovasi ini telah melalui ujian untuk mengetahui kebolehan akar pokok sintok atau nama saintifiknya Entada spiralis bagi menghentikan pertumbuhan bakteria yang menyebabkan penyakit kulit

“Tampalan ini sangat mesra alam kerana ia dihasilkan daripada batang pokok tanpa campuran bahan kimia yang merbahaya kepada manusia dan persekitaran.

Ujar beliau, produk itu sesuai untuk diletakkan di setiap kediaman bagi tujuan penggunaan awal sewaktu berlaku kecemasan.

“Selain penggunaannya amat mudah dan ekonomi, ia juga dikategorikan sebagai produk mesra alam sekitar”.

Katanya, tampalan itu akan dilihat lebih teliti untuk meningkatkan lagi tahap keberkesanan tampalan agar boleh digunakan bagi merawat pelbagai penyakit kulit lain.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malayasia Terengganu