UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

MeT-GAS banteras serangan siput sawah padi

MeT-GAS banteras serangan siput sawah padi

Sunday, 18/2/2024

Share This Article :

Mutakhir ini isu ketidakcukupan makanan sering menjadi perbincangan dari pemimpin negara sehingga ke ahli keluarga kecil. Beberapa tahun lalu gempar dengan kekurangan bekalan beras yang melanda negara dan natijahnya harga bahan asas itu meningkat begitu ketara yang memberi kesan besar kepada rata-rata masyarakat khususnya golongan berpendapatan rendah.

 

Berdasarkan rekod, Malaysia mengeluarkan kira-kira 63 peratus beras untuk kegunaan domestik dan selebihnya bekalan itu terpaksa diimport daripada negara pengeluar lain bagi memenuhi keperluan.

 

Namun, dunia dikejutkan dengan pengumuman pemimpin India yang memutuskan untuk menghentikan bekalan beras ke beberapa negara termasuk Malaysia bagi meletakkan keutamaan pasaran dalam negara berkenaan.

 

Kebergantungan beras import memberi tekanan terhadap stok makanan ruji masyarakat Malaysia seterusnya mendesak negara untuk mencari solusi bagi menyelamatkan negara daripada krisis tersebut.

 

Pelbagai inisiatif telah dilakukan kerajaan termasuk cadangan penggunaan sawah padi secara optimum selain giat melakukan R&D dalam penghasilan beras tempatan tetapi proses itu dilihat mengambil masa yang agak panjang.

 

Perubahan iklim yang ekstreme ditambah dengan ketidaktentuan cuaca turut menyumbang kepada krisis ketidakcukupan bekalan beras apabila pertumbuhan padi terbantut akibat panas berpanjangan dan juga hujan yang berterusan.

 

Situasi bertambah buruk apabila tanaman padi yang diusahakan petani turut diancam serangan siput gondang emas secara besar-besaran dan memberi implikasi terhadap bekalan beras domestik.

 

Penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Wahizatul Afzan Azmi menjelaskan bahawa aspek kawalan pembiakan haiwan itu perlu dipandang serius bagi memastikan pengeluaran padi negara berada pada tahap optimum.

 

“Siput gondang emas ini atau nama saintifiknya Pomacea canaliculata merupakan haiwan invasif yang bukan berasal daripada Malaysia. Ia telah diperkenalkan di Malaysia sebagai makanan dan haiwan peliharaan akuarium, tetapi kini ia adalah spesies perosak alien invasif (Invasive Alien Species – IAS) paling serius yang menyebabkan kerosakan teruk pada tanaman padi di seluruh dunia.

“Siput gondang emas ini telah diperkenalkan di Malaysia sebagai item makanan dan haiwan peliharaan akuarium, tetapi kini ia adalah spesies perosak alien invasif (Invasive Alien Species – IAS) paling serius yang menyebabkan kerosakan teruk pada padi di seluruh dunia.

 

“Bagi mengatasi masalah populasi siput ini, kita jalankan penyelidikan dengan menghasilkan bahan yang dinamakan MeT-GAS iaitu sejenis kulat yang bersifat  toksik kepada siput. Ia boleh membunuh siput dengan menyerang sistem dalaman haiwan tersebut seperti organ pencernaan, pembiakan, kantung pulmonari dan hepatopancreas”. Ujarnya yang juga pakar Entomology di Fakulti Perikanan dan Sains Makanan UMT.

 

Katanya, serangan haiwan perosak itu kini telah merosakkan kira-kira 17,000 hektar kawasan tanaman padi dan secara tidak langsung menjejaskan kehidupan para petani.

 

Tambahnya, penyelidikan yang dijalankan itu telah melalui fasa ujian makmal dan ia bakal digunakan secara meluas sekiranya penemuan baharu itu melepasi piawaian yang telah ditetapkan.

 

“Setakat ini, bahan yang dihasilkan bersifat mesra alam, tidak menjejaskan hidupan lain yang berada pada persekitaran serta mengekalkan kelestarian ekosistem”.

 

Selain mudah penggunaannya, Dr. Wahizatul berkata produk inovasi itu boleh diproduksi dalam skala besar dengan kos yang minima.

 

“Produk ini bukan sahaja memerlukan kos yang rendah, malah penggunaanya mampu memberi hasil tuaian padi yang maksima serta mengekalkan kestabilan harga beras di pasaran tempatan”. Katanya.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu