UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT, Institusi Pendidikan di Negara China Perkukuh Kerjasama Strategik Penyelidikan dan Akademik Sains Marin

UMT, Institusi Pendidikan di Negara China Perkukuh Kerjasama Strategik Penyelidikan dan Akademik Sains Marin

Monday, 05/08/2019

Share This Article :

Putrajaya – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Ocean University of China (OUC) telah mengadakan kerjasama strategik semenjak 25 November 2016 bagi memperluaskan lagi penyelidikan dan program kolaborasi akademik dalam bidang sains marin diperingkat antarabangsa.
 
 
Naib Canselor UMT, Profesor Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, melalui Memorandum Persefahaman (MoU), kerjasama dengan OUC akan diperkukuhkan lagi dengan cadangan penubuhan Pusat Akademik Sains Marin UMT-OUC di kampus UMT, Kuala Nerus, Kuala Terengganu.
 
 
“Di bawah Pusat ini, pelbagai pemantapan aktiviti akan dijalankan antaranya melibatkan program pertukaran staf Akademik dan pelajar, kerjasama penyelidikan saintifik dan penghasilan penerbitan akademik berimpak tinggi serta penganjuran bengkel tahunan khususnya dalam penyelidikan Bioteknologi Marin, Mikrobiologi Akuatik, Akuakultur, Oseanografi dan Kejuruteraan Kelautan.
 
 
“Pihak OUC akan memperuntukkan sejumlah dana sebanyak 1.5 juta Yuan setahun selama 5 tahun bagi tujuan pelaksanaan aktiviti bersama bagi kedua-dua pihak” tambahnya lagi.
 
 
Pelancaran Pusat Akademik Sains Marin UMT-OUC akan diadakan pada 28 Oktober  2019 di UMT bersempena dengan penganjuran bengkel UMT-OUC Workshop on Aquatic Sciences : A Joint Initiative Between Universiti Malaysia Terengganu (UMT) and Ocean University of China (OUC).
 
 
Perbincangan bagi penubuhan Pusat Akademik Sains Marin UMT-OUC ini dipersetujui semasa lawatan kerja rasmi delegasi UMT ke Qingdao dan Tianjin yang diketuai Naib Canselor UMT bermula 3 – 8 Ogos 2019.
 
 
Delegasi UMT diketuai oleh Naib Canselor UMT, Prof. Dato Dr. Nor Aieni Hj Mokhtar, disertai Pengarah Institut Bioteknologi Marin UMT, Prof Madya Dr. Yeong Yik Sung, Pensyarah Fakulti Perikanan dan Sains Makanan UMT Dr. Mok Wen Jye, dan Pegawai Komunikasi Strategik, Norul Aina Amirah Ab Rahman.
 
 
Manakala OUC diketuai oleh Presiden OUC, Prof. Yu Zhigang, Pengarah Bahagian Sains dan Teknologi OUC Prof. Li Yan, Dekan Kolej Perikanan Prof.Li Qi, Timbalan Dekan Kolej Sains Marin Prof. Wang Min beserta pegawai akademik yang lain.