UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT jalin kolaborasi dengan Tourism Malaysia, perkasa sektor pelancongan melalui EduTourism

UMT jalin kolaborasi dengan Tourism Malaysia, perkasa sektor pelancongan melalui EduTourism

Tuesday, 16/11/2021

Share This Article :

Putrajaya, 16 November 2021 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menawarkan khidmat kepakaran kepada Lembaga Penggalak Pelancongan, Torism Malaysia bagi menarik lebih ramai pelancong sambil merancakkan kempen pemuliharaan alam sekitar.
 
Kerjasama itu dimeterai dalam majlis yang berlangsung di Pusat Komunikasi Strategik UMT, Putrajaya, hari ini.
 
Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata UMT mempunyai matlamat yang jelas dalam menjalankan kajian dari aspek sains dan sosial berkaitan marin sama ada di kampus mahupun luar kampus.
 
“Aktiviti pelancongan penting dalam meningkatkan ekonomi negara.
 
“Menjadi tugas serta keutamaan UMT untuk terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan serta memberi pendedahan dan perkongsian ilmu secara langsung atau tidak langsung kepada komuniti sekitar khususnya.
 
Perjanjian kolaborasi itu juga mampu memberi impak besar dalam pengukuhan aktiviti pelancongan domestik dan antarabangsa.
 
“Melalui MOC ini, pelbagai projek dan program strategik telah dirangka, antaranya cadangan penyelidikan antara UMT dan Tourism Malaysia. 
 
“Hasil penyelidikan sebenarnya dilihat mampu meningkatkan budaya keusahawanan, membuka peluang pekerjaan, membangunkan produk pelancongan baharu di kalangan komuniti serta berupaya memberikan impak positif bagi peningkatan ekonomi kualiti taraf hidup komuniti.
 
Tambah Prof. Dr. Mazlan, UMT bersedia memperkukuhkan sektor EduTourism kepada pelancong.
 
“Dengan adanya kolaborasi ini, pihak universiti dapat memperkasakan penawaran EduPelancongan (EduTourism) kepada pelancong tempatan mahupun luar negara sekaligus berupaya mempromosikan keunikan pelancongan marin di Terengganu.
 
“Antara inisiatif penyelidikan UMT yang boleh diketengahkan, Turtle Lab dan Program Sukarelawan SEATRU, Program Kraftangan Kercut Beting Lintang di bawah projek Mek Flora Setiu, Bengkel Coral Restoration, Dive Heart Special Ability Diver serta pelbagai lagi program di bawah seliaan penyelidik UMT yang kebanyakannya dijalankan di 4 buah Stesen Penyelidikan Alami UMT Pulau Bidong, Chagar Hutang Pulau Redang, Tasik Kenyir dan Tanah Bencah Setiu.
 
Ujar beliau, permeteraian perjanjian kolaborasi itu memperkasakan lagi usaha dan inisiatif penyelidikan serta dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak sekaligus memartabatkan inisiatif sektor pelancongan ke tahap yang lebih tinggi. 
 
Selain itu, UMT juga merupakan universiti pertama yang mendapat pengiktirafan sebagai Diveheart Adaptive Diver Buddy Team (ADB) yang telah dijalankan di Stesen Penyelidikan Alami Marin UMT, Pulau Bidong.
 
Pengiktirafan lain yang turut diterima oleh UMT antaranya ialah daripada Malaysia Book of Records sebagai universiti pertama dalam negara yang memperoleh ISO 9001: 2015 (Sistem Pengurusan Kualiti) dalam skop Pengurusan Latihan Berkaitan Kursus Perlesenan Selam Skuba, Perkhidmatan Pendidikan Di Peringkat Asasi, Diploma, Sarjana Muda dan Pasca Siswazah, Pengurusan Penyelidikan dan Proses Sokongan Universiti.
 
Dikeluarkan oleh:
 
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu