Kuala Nerus- Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Majlis Kolej Siswa (MKS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sesi 2018/19 telah mengadakan kunjungan hormat ke Pusat Komunikasi Korporat (PKK) UMT pada 11 dan 12 Februari 2019 bertempat di Bilik Mesyuarat Zaaba, PKK.

Kunjungan hormat ini bertujuan memperkenalkan barisan MPP dan MKS baharu yang akan menerajui mahasiswa UMT serta membincangkan kerjasama di antara PKK, MPP dan MKS.

Yang Dipertua MPP Muhammad Hasyimi Hasyim bin Mohd Suddin berkata, kunjungan hormat ke semua Pusat Tanggungjawab (PTj) dan Pusat Pengajian ini adalah agenda tetap pada setiap tahun sejurus lantikan baharu diumumkan secara rasmi.

Menurutnya, kunjungan hormat ini bukan sahaja untuk membincangkan kerjasama malah mengeratkan lagi hubungan dua hala antara kepimpinan mahasiswa dengan PTj dan Pusat Pengajian serta berkongsi idea dan bertukar-tukar pendapat melalui pengalaman masing-masing.

Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Wan Mohd Wazir bin Wan Abdul Wahab turut berkata aktiviti seperti ini harus dikekalkan untuk setiap sesi bagi memberi peluang kepimpinan MPP dan MKS turun padang mengenali PTj, Pusat Pengajian serta kakitangan universiti dengan lebih dekat selain perkongsian yang sememangnya berguna untuk mereka.

Tambahnya lagi kunjungan ini adalah satu inisiatif yang murni antara perwakilan mahasiswa bersama PTj dalam mengeratkan kerjasama serta mewujudkan kesefahaman di antara semua pihak. Pemantapan citra universiti melalui hebahan media sosial rasmi universiti dapat ditingkatkan melalui kerjasama ini.

MPP memainkan peranan penting sebagai perantara dengan Pihak Pengurusan Universiti dan pelajar dalam menyampaikan info-info penting serta menyalurkan masalah yang dihadapi pelajar. Kebajikan pelajar turut menjadi keutamaan disamping menyampaikan suara-suara mahasiswa di UMT dari segala aspek.

Selain dari itu, MPP turut memainkan peranan melakukan anjakan paradigma di dalam universiti dan menerajui program-program berimpak.

Manakala MKS berperanan sebagai pengantara kepada pelajar asrama dan pihak Pengurusan Kolej Siswa dalam penyampaian info-info semasa serta menjaga kebajikan pelajar asrama seperti keselesaan pelajar dalam pengunaan fasiliti dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti yang melibatkan kolej siswa turut diselaras oleh MKS.

Terdahulu kunjungan mereka adalah di Pusat Sukan & Rekreasi, Bahagian Keselamatan dan Pusat Kesihatan Universiti turut membincangkan kerjasama bersama.

 

Dikeluarkan oleh:

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu