UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Waris penuntut UMT terlibat kemalangan terima khairat kematian, sumbangan bernilai lebih RM30 ribu

Waris penuntut UMT terlibat kemalangan terima khairat kematian, sumbangan bernilai lebih RM30 ribu

Tuesday, 17/05/2022

Share This Article :

Kuala Nerus, 16 Mei 2022 – “Syukur atas sumbangan ini. Sedikit sebanyak mampu memberi kelegaan buat kami sekeluarga setelah kehilangan anak tersayang. Dia anak harapan kami untuk bantu keluarga, apakan daya, tuhan lebih menyayanginya”. Ujar Nordin bin Mohamad, bapa kepada allahyarham Mohamad Amir Nordin, Pelajar Tahun 3 Sarjana Muda Pengurusan (Pemasaran).

Menurutnya yang juga kakitangan kilang papan di Gua Musang itu, arwah Mohamad Amir terlibat dalam kemalangan sewaktu melakukan kerja sampingan sebagai penghantar pesanan makanan bagi menampung perbelanjaan harian pada 6 Mac lalu.

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata pihaknya sentiasa mengutamakan kebajikan pelajar terutamanya golongan asnaf dan B40.

“Alhamdulillah, pelajar-pelajar UMT yang berkelayakan daripada golongan B40 dan golongan asnaf telah didaftarkan untuk program ini, termasuklah Allahyarham Mohamad Amir. Oleh yang demikian, waris Allahyarham layak mendapat manfaat kematian sebanyak RM20,000 daripada Program Baucar Perlindungan Tenang yang dikendalikan oleh Hong Leong MISG Takaful”. Ujar beliau dalam Majlis Bayaran Sumbangan Perlindungan Tenang Voucher (PTV) HLM Takaful Tenang yang berlangsung di Dewan Senat UMT, hari ini.

“Kehilangan anak merupakan suatu ujian berat kepada waris ditambah pula anak tersebut merupakan orang harapan untuk mengubah nasib keluarga. Takziah sekali lagi dari kami di UMT.

Tambah Dato’ Mazlan, pihaknya juga menyediakan bayaran khairat kematian bernilai RM1,000.00 serta Skim Perlindungan Insurans Keluarga Berkelompok Pelajar Prasiswazah sebanyak RM10,000 kepada waris Allahyarham.

Bayaran pampasan tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong MSIG Takaful, Mohd Asri Omar kepada waris.

Program Baucar Perlindungan Tenang yang dilancarkan pada September tahun lalu merupakan inisiatif oleh kerajaan Malaysia untuk memperluaskan perlindungan sosial kepada golongan berpendapatan rendah dan ditawarkan kepada yang layak melalui Hong Leong MSIG Takaful yang bertindak sebagai pengendali takaful yang dilantik oleh pihak kerajaan bagi Program Baucar Perlindungan Tenang.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu