UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Bee Ready Kelulut Energy Bar Kajian UMT Pasar Ke Luar Negara

Bee Ready Kelulut Energy Bar Kajian UMT Pasar Ke Luar Negara

Sunday, 07/02/2021

Share This Article :

Kuala Nerus, 7 Februari 2021 – Penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Wan Iryani Wan Ismail berjaya menghasilkan bar tenaga segera menggunakan roti lebah daripada lebah kelulut yang mempunyai nilai khasiat yang tinggi. 

Menurut Dr. Wan Iryani, kajian awal penghasilan produk Bee Ready Energy Bar ini bermula pada 2015-2016 menggunakan roti lebah dari spesis lebah madu setelah melihat kekangan bantuan bekalan makanan yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir pada 2014.

“Saya tersentuh dengan situasi yang dialami oleh mangsa-mangsa banjir yang terputus bekalan makanan ketika banjir besar yang berlaku pada 2014. Melihat kepada kejadian itu, idea tercetus untuk menghasilkan produk makanan segera yang mengandungi khasiat dan memenuhi nutrisi keperluan manusia. 

Lebih mengujakan apabila idea tersebut diterjemahkan dalam bentuk penyelidikan dan berjaya meraih geran bernilai RM120,000.00.

“Idea ini kemudian diperkembangkan menggunakan roti lebah dari spesis lebah kelulut ketika mengadakan kerja-kerja lapangan di pusat penternakan lebah kelulut, seringkali terlihat roti lebah tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh penternak dan ada sesetengahnya dibuang begitu sahaja. Bermula detik itu, saya berhasrat untuk melihat khasiat dan kebaikan roti lebah tersebut”. 

“Berdasarkan peruntukan dana penyelidikan yang seterusnya daripada UMT, kajian yang telah dilakukan bersama-sama pelajar, roti lebah tersebut mempunyai kandungan antioksida yang tinggi dan sesuai untuk dijadikan sebagai makanan segera. Saya berharap, kajian tersebut dapat meningkatkan nilai komersil roti lebah kelulut dan seterusnya pendapatan para penternak”. 

“Bar tenaga ini adalah produk yang pertama kali dihasilkan berasaskan kajian (Research Based) yang menggunakan bahan seperti roti lebah kelulut sebagai bahan utama dalam formulasinya. Yang menariknya ia adalah berasaskan sumber semulajadi dan spesis lebah kelulut tempatan daripada hutan hujan tropika di Malaysia.

“Selain berkhasiat, produk ini sebenarnya kaya dengan protein, karbohidrat, tenaga, vitamin serta rendah dari lemak dan tidak menggunakan pengawet dan pewarna tiruan berbanding produk yang sedia ada di dalam pasaran. Ia bukan sekadar untuk menghasilkan tenaga dua kali ganda berbanding sesetengah produk dalam pasaran bahkan ia juga dicipta untuk menjaga kesihatan pengguna dengan harga yang kompetatif.

Bar tenaga ini sesuai diambil oleh individu yang mempunyai jadual kerja yang padat, pelajar, kegunaan para atlet, ketika aktiviti luar seperti berbasikal dan mendaki gunung serta turut sesuai dijadikan makanan bernutrisi lengkap ketika terputus bekalan ketika bencana alam.

Menariknya, satu ujian sensori yang telah dilakukan di kalangan askar tempatan dengan kerjasama pihak STRIDE pada tahun 2020 turut mendapat maklum balas yang amat positif.

“Paling penting, produk ini juga sesuai untuk dijadikan makanan kepada para barisan hadapan (frontliners) ketika menjalankan tugas menghadapi wabak COVID-19 dan serta diletakkan di Pusat Pemindahan Sementara akibat bencana”.

Untuk rekod, Prof. Madya Dr. Wan Iryani Wan Ismail merupakan seorang pensyarah di Fakulti Sains dan Sekitaran Marin yang inovatif dan juga telah memenangi 50 anugerah dalam dan luar negara seperti Fellowship for Women in Science (FWIS): L’Oréal-UNESCO, diiktiraf dalam kumpulan 100 penyelidik terbaik di peringkat Asia, juga penerima anugerah khas dan pingat emas di Seoul International Innovation Fair (SIFF) 2019 serta mendapat anugerah the Most Innovative Award and Bioeconomy Innovation of the Year 2017 di BioMalaysia 2017.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Nor Aieni Mokhtar mengucapkan syabas atas kejayaan penghasilan produk itu.

“Tahniah dan syabas buat Prof. Madya Dr. Wan Iryani Wan Ismail atas kejayaan menghasilkan produk yang begitu berimpak dan memberi manfaat kepada masyarakat. Saya menyokong penuh usaha-usaha yang dijalankan oleh penyelidik dan saya berharap kejayaan ini menjadi dorongan buat para penyelidik lain untuk terus menghasilkan kajian dengan idea-idea baharu untuk manfaat negara.

Majlis Pelancaran Produk Bee ready Kelulut Energy Bar dan Penyerahan Pelesenan Hak Cipta Intelek Antara Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Bayu Gagah Marketing (M) Sdn. Bhd diadakan secara dalam talian pada 7 Februari 2021.

Melalui penyerahan hak pelesenan produk kepada syarikat Bayu Gagah Marketing, UMT yakin syarikat berkenaan boleh membantu mengkomersilkan produk Bee Ready ini ke pasaran tempatan dan seterusnya antarabangsa.

Pengerusi Bayu Gagah Marketing (M) Sdn. Bhd, Rahim Yusoff berkata syarikatnya berusaha sebaik mungkin untuk mengetengahkan produk-produk hasil penyelidikan yang dijalankan oleh universiti.

“Setelah mendapati bahawa madu kelulut berpotensi untuk dipasarkan, syarikat kami telah berusaha dan berjaya mendaftarkan bar tenaga ini sebagai superfood pada penganjuran Gulfood Innovation Awards 2021 dalam kategori “Most Innovative Health & Welness Product”.

 

“Ini adalah usaha berterusan BAYU sejak penubuhannya lima tahun lalu untuk memartabatkan Superfood Pertama Malaysia dan produk hilirannya ke serata dunia”. Katanya.

Majlis secara dalam talian tersebut turut dihadiri oleh En. Rahim Yusoff, Pengerusi Bayu Gagah Marketing (M) Sdn Bhd, En. Abd Hisham bin Mohd Yusoff, Pengarah Urusan dan Pemasaran Bayu Gagah Marketing., En. Hj Sabri bin Abidin Sulong, Pengarah Pemasaran Region Pantai Timur, Profesor Dr. Mazlan bin Abd. Ghaffar, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMT, Prof. Madya Chm. Dr. Khairul Anuar bin Mat Amin, menjalankan Fungsi Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Pegawai-pegawai Utama UMT, Pihak Pengurusan Bayu Gagah Marketing serta para penyelidik UMT.

 

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Komunikasi Korporat (PKK)

Universiti Malaysia Terengganu (UMT)