UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

RAMAH MESRA YB DATO’ DR NORAINI AHMAD BERSAMA WARGA UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU (UMT)

RAMAH MESRA YB DATO' DR NORAINI AHMAD BERSAMA WARGA UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU (UMT)

Monday, 29/06/2020

Share This Article :

Kuala Nerus – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berbesar hati menerima kunjungan YB. Dato’ Dr Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi dalam program Outreach Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) Pantai Timur.

 

Menurut YB. Dato’ Dr Noraini Ahmad sesi itu bertujuan untuk mendengar secara langsung hasrat dan aspirasi kakitangan, pensyarah serta pelajar tentang perkara-perkara yang boleh ditambah baik oleh pihak KPT.

 

“Berkenaan penghantaran pulang pelajar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ia melibatkan hampir 60 ribu pelajar IPT dengan perbelanjaan sebanyak 16 juta. Malah UMT sendiri diperuntukkan sebanyak RM1.8 juta untuk tujuan ini”. Menyentuh tentang cabaran Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam tempoh PKP, beliau mengakui kesukaran mendapatkan akses internet bagi pelajar yang tinggal di pendalaman. Justeru itu, tambahnya pendigitalan pendidikan tinggi perlu dilaksanakan dengan lebih terperinci dengan mengambil kira cabaran-cabaran yang dihadapi oleh setiap IPT. Tambahnya lagi terdapat keperluan untuk menaik taraf infrastruktur dan infostruktur di universiti awam seperti pencapaian internet, liputan WIFI serta keperluan peranti mudah alih untuk membantu proses PdP dalam talian agar berjalan lebih lancar.

 

“Sehubungan itu KPT juga dalam usaha menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk mendapatkan pakej bersesuaian bagi membantu pelajar dalam melaksanakan PdP dalam talian”.

 

“Pihak KPT juga sedang menyediakan SOP untuk para pelajar kembali ke kampus sepertimana arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN). Namun tarikh pelajar kembali ke kampus sedang dibincangkan dengan mengambil kira SOP yang dibenarkan. Inisiatif KPT melalui sesi libat urus dengan pelbagai kementerian dan agensi untuk membantu pelajar yang akan bergraduasi melalui tiga cabang sama ada untuk sambung belajar, terus bekerja atau menjadi usahawan.

 

Dalam pada itu, KPT juga telah menandatangani Memorandum of Understanding (MOU) antara Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan PERKESO bagi menempatkan 4,600 graduan untuk mendapatkan pekerjaan manakala 3,000 graduan akan diletakkan di bawah unit latihan dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia.

 

Cadangan untuk penempatan graduan di agensi-agensi berkaitan turut dibincangkan di dalam mesyuarat Economic Action Council (EAC) dalam membantu graduan mendapatkan pekerjaan selepas graduasi. Turut dibicarakan berkenaan keputusan penggabungan UMT dan UniSZA yang menjadi agenda utama beliau selepas pelantikan sebagai Menteri KPT.

 

Beliau mengharapkan keputusan untuk tidak meneruskan penggabungan ini menjadikan UMT sebagai universiti berfokus kepada sumber akuatik dan hidupan marin serta menjadi rujukan serantau.

 

Menurut Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni binti Haji Mokhtar dalam ucapannya pula amat berterima kasih di atas kesudian dan peluang yang diberikan kepada pihak UMT melalui kunjungan ini serta meneliti pandangan dari pelbagai pihak dalam membuat keputusan penting dalam isu penggabungan UMT dan UniSZA.

 

Tambahnya UMT sentiasa memberi idea, saranan dan maklum balas positif dalam semua isu yang dibincangkan berkait pendidikan pasca pandemik COVID-19. Malah kehadiran 92 peratus pelajar kuliah dalam talian memperlihatkan kejayaan membanggakan UMT dalam aktiviti PdP.

 

“Moga semua cadangan melibatkan PdP tersebut dapat membantu kementerian dalam mengambil pendekatan terbaik untuk semua”.

 

Majlis yang berlangsung santai dan patuh Standard Operation Procedure (SOP) ini melibatkan pengurusan tertinggi universiti, pensyarah dan pelajar.

 

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Ketua Pengarah Pengajian Tinggi dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMT (LPU), YBhg. Tan Sri Dato Sri’ Shamsul Azhar Abbas. Perjumpaan yang bermula jam 8 malam dan berakhir pada jam 11.30 malam merupakan sesi libat urus yang kedua selepas Universiti Malaysia Pahang (UMP).

 

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Komunikasi Korporat (PKK)

Universiti Malaysia Terengganu (UMT)