UMT Sailing Team berjaya merapatkan jurang dengan pelayar terbaik dunia apabila dinobat tempat keempat dalam siri kejohanan Kapal Layar Langkawi 2019 yang berlangsung selama lima hari berakhir 13 Januari 2019 lalu.

 

Pasukan UMT yang diwakili sekumpulan pelajar dan staf yang juga merupakan pasukan tunggal dari institusi pengajian tinggi awam menyertai cabaran ini.

 

Izhar Mohd Mustaat, pegawai pengiring selaku pengurus pasukan berkata, pasukan UMT telah menyertai beberapa siri pertandingan kapal layar di pelbagai peringkat.

 

“Alhamdulillah pasukan UMT berjaya mendapat tempat keempat secara keseluruhan bagi kategori Sport Boat daripada 35 pasukan penyertaan terdiri daripada tujuh kategori.

 

“UMT salah satu daripada 19 buah kapal layar mewakili Malaysia bersaing dengan pelayar-pelayar hebat dari tujuh buah negara iaitu  Australia, USA, UK, Rusia, Singapura, Jepun dan Thailand.

 

Tambah beliau, UMT Sailing Team telah mula menempa nama dalam kejohanan kapal layar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sejak 2015.

“Selain meningkatkan kemahiran dalam sukan pelayaran, penyertaan ini mampu menonjolkan imej UMT sebagai peneraju sukan pelayaran dikalangan intitusi pendidikan di Malaysia.

 

“Dengan adanya pertandingan ini, ia juga menawarkan peluang pekerjaan kepada pelajar yang telah dianugerahkan Sijil Kejurulatihan Spesifik Pelayaran daripada Institut Sukan Negara untuk melatih pelayar baharu selain pendedahan berkaitan operasi dan pengurusan marina yang dipelopori oleh warga asing bagi memenuhi keperluan industri tersebut.

 

“Pasukan kami akan membuat latihan dan persiapan lebih rapi bagi merebut kejuaraan dalam pertandingan 18th Royal Langkawi International Regatta 2020 nanti.” Katanya.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu