UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT simpan lebih 50,000 spesimen marin, pusat rujukan penyelidik

/umt-simpan-lebih-50000-spesimen-marin-pusat-rujukan-penyelidik/

UMT simpan lebih 50,000 spesimen marin, pusat rujukan penyelidik

Tuesday, 23/05/2023

Share This Article :

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) merupakan sebuah institusi pengajian yang tidak asing lagi dengan kajian berkaitan laut. Bidang penyelidikan yang dijalankan pula meliputi pelbagai ruang lingkup antaranya oseanografi fizikal, ilmu perikanan, arus dan suhu air laut serta kehidupan.

Bagi melengkapkan kajian yang bakal dilakukan, UMT melalui Pusat Rujukan & Repositori Laut China Selatan (RRC) di Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) bertindak sebagai ‘perpustakaan’ bagi memudahkan para penyelidik menjalankan kerja-kerja berkaitan tanpa perlu turun ke lapangan.

RRC juga berfungsi sebagai ‘muzium sejarah semula jadi marin’ yang ditubuhkan pada 2004 memberi fokus kepada pengumpulan kepelbagaian marin yang terdapat di perairan Malaysia (Laut China Selatan dan Selat Melaka).

INOS UMT sering dijadikan pusat pakar rujuk berkaitan isu melibatkan lautan serta hidupan marin dan pengurusan itu menetapkan visi RRC adalah untuk menjadi repositori utama dan pusat rujukan untuk koleksi marin di Malaysia untuk penyelidikan dan pendidikan.

Sehingga kini, lebih 50,000 spesimen marin ditempatkan di RRC. Selain itu, terdapat 70 spesimen yang dikelaskan sebagai ‘type’ spesimen iaitu spesimen yang digunakan untuk menamakan spesis baru dalam sains. Kesemua spesimen ini yang mempunyai anggaran nilai keseluruhan hampir RM7.5 juta. Kurator yang bertugas di RRC telah mengelaskan sampel spesimen kepada beberapa kategori seperti biologi, geologi, paleontologi dan genomik.

Spesimen yang terkumpul di RRC UMT ini juga disimpan mengikut kumpulan sama ada basah, kering atau genomik dan pengurusan UMT menitikberatkan aspek kualiti simpanan dan ia diselaraskan mengikut piawaian dari National Park Service, USA.

Kebanyakan spesimen yang diletakkan di RRC adalah sumbangan daripada penyelidik UMT. Namun begitu, terdapat juga spesimen yang disumbangkan oleh penyelidik bukan kalangan warga UMT.

Lebih membanggakan, RRC UMT mendapat pengiktirafan oleh kerajaan Malaysia sebagai pusat repositori utama spesimen marin. Manakala di peringkat antarabangsa pula, RRC diperakui oleh kerajaan Australia sebagai pusat pertukaran atau pinjaman spesimen biologi dengan institusi Australia.

Selain itu, RRC juga merupakan penyumbang utama kepada pusat data MyBIS (Sistem Maklumat Biodiversiti Malaysia) dan juga Sistem Maklumat Biodiversiti Lautan (OBIS) negara. Peranan RRC UMT amat besar dalam perkembangan kajian hidupan marin negara.

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu