UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

JALINAN KERJASAMA UMT-INDUSTRI TINGKATKAN KAJIAN STRAWBERI TANAH RENDAH DI JAMBU BONGKOK, MARANG

JALINAN KERJASAMA UMT-INDUSTRI TINGKATKAN KAJIAN STRAWBERI TANAH RENDAH DI JAMBU BONGKOK, MARANG

Monday, 06/01/2020

Share This Article :

Kerjasama Universiti dan Industri dilihat mampu merangsang kebolehpasaran para graduan, memperbaiki struktur kurikulum berdasarkan keperluan industri dan juga merancakkan kajian penyelidikan.

Selain itu, ianya juga memberi kesan positif kepada industri itu sendiri dalam meningkatkan keuntungan perniagaan. Sejajar dengan itu, sekumpulan pensyarah Fakulti Perikanan dan Sains Makanan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang diketuai oleh Dr Wan Zaliha Wan Sembok dan juga 20 orang pelajar bidang pertanian (Sains Tanaman dan Teknologi Lepastuai) telah menjalankan kajian berkaitan tanaman strawberi tanah rendah dan juga program pemindahan ilmu ‘Biochar Dan Rumpai Laut Serta Kelulut: Inovasi Baja Bio Efektif Dan Agen Pendebungaan Bagi Tanaman Strawberi di Big Bee Honey Sdn Bhd.

Program pemindahan ilmu ini adalah dibiayai oleh dana Asimilasi Pengetahuan dan Teknologi (KTAG2019), UMT. Program telah bermula pada bulan November 2019 dan akan berakhir pada 28 Februari 2020.

Menurut Dr Wan Zaliha selain daripada suhu dan kelembapan yang sesuai, strawberi tanah rendah memerlukan teknik pembajaan dan media yang efektif bagi memperolehi hasil yang tinggi.

“Pendebungaan oleh lebah kelulut juga memainkan peranan yang sangat signifikan dalam memperolehi bentuk buah yang cantik dan berkilat”.

Tambahnya lagi pendebungaan lebah kelulut ke atas strawberi tanah rendah ini adalah hasil idea rakan penyelidik, Prof Madya Dr Wahizatul Afzan Azmi. Manakala, untuk media pula, campuran sabut kelapa dan arang hitam iaitu hasil pembakaran sisa pertanian melalui teknik pyrolysis dan digabung jalinkan dengan semburan baja foliar iaitu ekstrak rumpai laut yang telah dikaji mempunyai kandungan hormon tumbuhan dan mineral nutrien yang tinggi diaplikasikan bagi meningkatkan hasil buah.

Hal ini membolehkan strawberi tanah rendah hidup subur di Big Bee Honey Sdn Bhd, iaitu industri yang baharu berjinak dengan tanaman bagi merealisasikan impian pengurusnya iaitu En. Nor Ehsan Abd Rahman ke aras perniagaan berkonsepkan Agro-Pelancongan.

Menuru En. Nor Ehsan beliau telah berkecimpung dalam industri Lebah dan Kelulut semenjak 16 tahun yang lepas dan mempunyai Galeri Madu Lebah dan Kelulut yang terkenal di di Jambu Bongkok, Marang, Terengganu. Beliau sangat dikenali serta berpengalaman luas dalam bidang Lebah dan Kelulut di Terengganu, khususnya.

Penambahan arang hitam kepada media yang digunapakai ini, dilihat mampu meningkatkan kualiti media melalui peningkatan struktur dan keupayaan memegang air serta mineral nutrien melalui liang-liang sisa bahan pertanian yang dibakar tadi. Ianya juga mampu mengurangkan keasidan dan kehilangan air melalui kaedah larut lesap.

 Nor Fazira Mohd Nadzuar (25 tahun) adalah salah seorang pelajar yang terlibat menyatakan bahawa penggunaan arang hitam dan ekstrak rumpai laut ini boleh dijadikan sumber kekayaan baharu kepada para pelajar yang bakal bergraduat nanti sebagai sumber pendapatan sampingan. Manakala, Nurul Syazana Mohd Ariff (22 tahun) pula menyatakan bahawa program pemindahan ilmu di industri membuka peluang yang lebih luas untuk menjalani Latihan Industri serta mendapatkan peluang pekerjaan kelak.

Oleh itu, hubungan kerjasama erat antara UMT-Industri ini mampu membuka lebih peluang kebolehpasaran dan meningkatkan keilmuaan kepada para pelajar dan juga penyelidik. Selain itu, idea yang kreatif dan inovatif juga boleh digarap semasa berada bersama industri yang mana boleh menjurus kepada peningkatan penyelidikan yang bertaraf global.

 

 

Keterangan Lanjut Hubungi:

Nama: Dr Wan Zaliha Wan Sembok

Jawatan: Pensyarah Universiti

Fakulti Perikanan dan Sains Makanan

Emel: wzaliha@umt.edu.my

Tel: 09-6684981/019-9885218

 

Dikeluarkan oleh:

Pusat Komunikasi Korporat,

Universiti Malaysia Terengganu (UMT)