UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT TERAP PENJAGAAN TERUMBU KARANG MELALUI CORAL REEF EDU-AWARENESS

UMT TERAP PENJAGAAN TERUMBU KARANG MELALUI CORAL REEF EDU-AWARENESS

Monday, 09/12/2019

Share This Article :

Oleh Tan Chun Hong/Siti Nur Tahirah Jaafar/Nur Zahirah Kamaruddin

Ekosistem marin menghadapi pelbagai ancaman akibat daripada fenomena semulajadi dan juga manipulasi sekitaran marin yang tidak terkawal. Pelbagai usaha dilakukan bagi meningkatkan kesedaran dan mendidik masyarakat mengenai kepentingan mengekalkan ekosistem marin oleh agensi kerajaan, korporat dan NGO. Pada tahun ini, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bekerjasama dengan rakan strategik korporat iaitu Yayasan Bank Rakyat (YBR) telah menganjurkan satu program kesedaran marin memfokuskan kepada terumbu karang yang dikenali sebagai “Coral Reef Edu-Awareness” .

 

Coral Reef Edu-Awareness ini merupakan salah satu program di bawah ‘Citizen Scientist Coral Reef Rescue Program (CSCRP)’. Program CSCRP melibatkan pelbagai lapisan masyarakat seperti nelayan, pemandu pelancong, penyelam komersial dan orang awam lain seperti pelajar sekolah dalam menbantu menjaga, memantau dan memberi informasi mengenai terumbu karang selain meminimakan impak buruk kepada terumbu karang. Dengan ini, masyarakat dapat dididik menjadi saintis awam dan bekerjasama dengan penyelidik dalam usaha memelihara dan memulihara terumbu karang. Aktiviti yang dilaksanakan di dalam “Coral Reef Edu-Awareness” merangkumi keseluruhan aspek terumbu karang iaitu ekologi, biologi dan kimia. Ianya juga membincangkan isu dan ancaman yang dihadapi oleh ekosistem marin. Peserta yang terlibat adalah pelajar sekolah Tingkatan 4 yang merupakan generasi pelapis yang diharapkan dapat meneruskan program kelestarian alam. Pelajar didedahkan terus kepada ekosistem terumbu karang dengan merasai dan melihat sendiri terumbu karang dan ekosistemnya, berbeza dari apa yang mereka pelajari di sekolah.

 

Coral Reef Edu-Awareness ini dijalankan dalam dua sesi iaitu pada 5 – 6 Julai dan 12 – 13 Julai 2019 bertempat di Stesen Penyelidikan Marin UMT, Pulau Bidong, Terengganu, Malaysia. Program ini melibatkan 100 orang pelajar dan 10 orang guru dari lima buah sekolah menengah di sekitar Terengganu mengikuti program ini. Antara sekolah yang terlibat adalah SMK Sultan Sulaiman, SMK Chung Hwa Wei Sin, SMA Sultan Zainal Abidin, SMK Lembah Bidong dan MRSM Kuala Terengganu.

 

Pelbagai aktiviti yang dikendalikan oleh fasilitator dari UMT seperti permainan Finding DebrisMarine Gossip, Exploring Coral Reef, Train of Knowledge, Draw and Guess, What’s that Animal? dan Acid Ocean. Pulau Bidong merupakan lokasi yang strategik kerana pelajar dapat merasai dan menerokai dengan lebih dekat ekosistem terumbu karang melalui aktiviti snorkeling. Kemuncak program, pelajar menzahirkan pemahaman mereka dalam isu pemuliharaan terumbu karang melalui Slot Malam Cintai Alam. Program ini diakhiri dengan aktiviti pembersihan pantai dengan dibantu oleh fasilitator berkaitan kaedah mengurangkan penghasilan sampah yang menyumbang kepada pencemaran laut seperti menggantikan straw plastik dengan straw buluh atau keluli tahan karat, membawa bekas makanan sendiri, membeli-belah menggunakan beg kitar semula dan sebagainya.

 

Program ‘Coral Reef Edu-Awareness’ ini memberi pengalaman dan pembelajaran yang berbeza kepada pelajar sekolah. Program ini merupakan satu platform untuk UMT berkongsi dan menyampaikan maklumat terkini tentang isu-isu marin, kesedaran dan pengajaran secara terus kepada generasi muda. Ianya juga membuka peluang dan menarik minat pelajar sekolah untuk mendalami ilmu marin dalam pengajian peringkat yang lebih tinggi. Adalah diharapkan melalui program ini, pelajar dapat menyebarkan ilmu dan kefahaman kepada rakan sebaya dan juga menjadi duta kesedaran ekosistem terumbu karang dalam memastikan kelestarian sumber dan ekosistem marin.

Untuk keterangan lanjut :

 

Dr. Tan Chun Hong

Pensyarah

Fakulti Sains dan Sekitaran Marin

Universiti Malaysia Terengganu

Tel : 012-4903898

Emel : tanchunhong@umt.edu.my

 

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu