UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Malaysia turut menyumbang penyelidikan Antartika

Malaysia turut menyumbang penyelidikan Antartika

Tuesday, 08/08/2023

Share This Article :

Kira-kira 500 penyelidik, saintis, penggubal polisi serta pelajar universiti dari dalam dan luar negara menyertai Forum Antarabangsa Antartika dan Perubahan Iklim 2023 bagi membentang hasil penyelidikan, membincangkan solusi terbaik dalam menangani isu perubahan iklim global.

Penganjuran itu sebagai tindakan menyokong Perjanjian Iklim Paris yang ditandatangani oleh 196 Negara dalam Persidangan Perubahan Iklim PBB di Paris, Perancis pada 12 Disember 2015 dalam usaha melindungi dan memulihara alam sekitar.

Antartika yang menyimpan kira-kira 90 peratus air tawar bumi dalam bentuk lapisan air, glasier dan bongkah ais tidak terlepas daripada mendapat kesan buruk pemanasan global yang akhirnya akan membawa kepada bencana ke seluruh bumi seperti permasalahan besar seperti kemarau melampau, gelombang haba dan banjir besar.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama erat Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) mengambil langkah proaktif dalam meletakkan Malaysia sebagai negara yang turut prihatin terhadap perubahan iklim global dengan melaksanakan kerja penyelidikan berkaitan Antartika.

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar berbesar hati dan menyambut baik pengiktirafan yang diberikan oleh Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah (BOT) YPASM pada Disember 2020 lalu atas kepercayaan memilih UMT sebagai penempatan penyandang Kursi Sains Antartika.

“Penubuhan Kursi Sains Antartika ini merupakan salah satu strategi untuk menjadikan sumbangan Malaysia dalam penyelidikan sains Antartika lebih signifikan dan diiktiraf oleh Triti Antartika yang bertanggungjawab dalam menjaga hal ehwal Antartika.

“UMT amat berbesar hati dan komited dalam menganjurkan program-program yang memberikan keutamaan terhadap isu-isu antartika dan berharap ia bakal memberi impak yang besar kepada negeri Terengganu dan Malaysia dalam kempen kesedaran kepada masyarakat awam tentang pengaruh benua Antartika kepada perubahan iklim seluruh dunia termasuk Malaysia”. Katanya sempena Majlis Perasmian Pembukaan  Forum Antarabangsa Antartika dan Perubahan Iklim 2023 yang diadakan di Dewan Sultan Mizan UMT hari ini.

Majlis perasmian itu turut menyaksikan Profesor Dr. Martin J. Siegert dari Imperial College, United Kingdom diangkat sebagai Penyandang Kursi Sains Antartika atas kepakaran beliau berkaitan bidang geologi dan glasiologi.

Dr. Martin J. Siegert ketika ditemui berkata semua pihak termasuk individu, agensi dan juga organisasi perlu mengambil tanggungjawab dalam menangani isu pemanasan global.

“Apabila ais mula mencair, ia akan bergerak ke laut dan menyebabkan berlakunya peningkatan paras laut. Secara tidak langsung ia bukan sahaja menyumbang kepada pemanasan global, malah lebih teruk.

“Saintis menganggarkan terdapat peningkatan paras laut sekurang-kurangnya setengah meter pada abad ini.

“Jika kita tidak hentikan aktiviti yang menyumbang kepada pemanasan global sekarang, peningkatan paras air laut mungkin boleh menjangkau dua meter atau lebih pada masa akan datang. Ia bukan sahaja terkesan kepada Malaysia, malah seluruh dunia”.

Sementara itu, Pensyarah dan juga Penyelidik di Institut Oseanografi dan sekitaran (INOS) UMT, Profesor Gs. Ts. Dr. Aidy @ Mohamed Shawal M Muslim turut mendapat perhatian daripada YPASM apabila terpilih untuk menerima anugerah berbentuk geran penyelidikan bernilai RM100,000.00 bagi menjalankan penyelidikan bertajuk Remote Sensing Big Data Analytics for Detailed geological mapping in exposed zones of dry valleys, Soth Victoria Land, Antarctica.

Turut hadir bagi menyempurnakan gimik perasmian pembukaan forum tersebut iaitu Tan Sri Dato’ Seri Salleh Mohd Nor, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan penyelidikan Antartika Sultan Mizan.

 

Disediakan oleh :

Amirul Salam Hasan

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu