UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT, PTP perkukuh kerjasama strategik melalui MoU

UMT, PTP perkukuh kerjasama strategik melalui MoU

Sunday, 16/07/2023

Share This Article :

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memeterai perjanjian dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd (PTP) untuk menaik taraf sistem berkaitan teknologi dan pengurusan pelabuhan pintar.

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata kerjasama yang terjalin antara UMT dan PTP merupakan peluang keemasan untuk dimanfaatkan.

“Antara komponen utama dalam perjanjian ini iaitu Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL) yang telah melibatkan 3 kohort.

“Kerjasama antara UMT dan PTP juga akan diperluaskan bukan sahaja untuk tujuan akademik tetapi juga dalam penyelidikan dan pembangunan, termasuk kerjasama dalam geran, penulisan artikel dan juga pembangunan kaedah analisis untuk manfaat kedua-dua pihak.

Katanya, sebagai sebuah universiti, aspek pemerkasaan mahasiswa diberi keutamaan bagi melahirkan graduan yang memenuhi permintaan industri.

“UMT telah bekerjasama rapat dengan PTP sejak lebih lima tahun lalu. Antara aspek yang direncanakan bersama-sama seperti Program Internship Berstruktur (SIP), Program Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL), Bicara Industri, Wawasan Kerjaya, Industrial Training Programme and Young Talent Development Programme in relation to Port Operations Apprentice Program (POPA).

“Program yang dirancang ini khas untuk mempersiapkan pelajar dengan ilmu akademik dan juga pengetahuan langsung berkaitan industri perkapalan dan pelabuhan.

Tambahnya, UMT berjaya lahirkan graduan holistik yang mampu memberi sumbangan kepada perkembangan industri dan negara.

“Saya difahamkan lebih 100 alumni UMT berkhidmat di PTP dalam pelbagai jawatan. Ini membuktikan bahawa UMT berjaya membentuk pelajar dalam memenuhi keperluan industri dan juga berbakti kepada pembangunan negara.

“Saya percaya kerjasama ini akan membawa impak yang lebih besar bukan sahaja kepada bakat UMT tetapi juga kepada hasil penyelidikan yang akhirnya memberi manfaat kepada pengurusan pelabuhan dan ekosistem masyarakat sekitar selaras dengan slogan UMT iaitu ‘Terokaan Seluas Lautan Demi Kelestarian sejagat’”. Katanya.

UMT yang ditubuhkan sebagai Pusat Perikanan pada 1979 telah melalui pelbagai peringkat evolusi berjaya menempa nama di pelbagai peringkat menerusi pencapaian akademik, penyelidikan dan inovasi serta pembangunan mahasiswa.

Antara pencapaian dan pengiktirafan yang telah diperolehi UMT iaitu penarafan oleh Times Higher Education (World University Rankings), Times Higher Education (Impact Rankings), Times Higher Education (World University Rankings by Subject), QS World University Rankings, QS University Rankings (Asia), UI GreenMetric, MyMoheS, Malaysia Research Assessment (MyRA) dan SETARA.

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu