UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

MaLTraC UMT pusat pengumpulan data logistik, tunjang pembaharuan sektor maritim negara

MaLTraC UMT pusat pengumpulan data logistik, tunjang pembaharuan sektor maritim negara

Monday, 27/02/2021

Share This Article :

Sebagai sebuah universiti berfokuskan bidang marin dan sumber akuatik, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus mengorak langkah dalam usaha merapatkan jurang antara Malaysia dengan negara maju khususnya sektor maritim.

Bagi memenuhi tuntutan itu, gedung ilmu yang sering menjadi rujukan bidang maritim dan oseanografi itu sekali lagi meneruskan jalinan kerjasama dengan badan berautoriti iaitu The Chartered Institute of Logistic and Transport Malaysia (CILT Malaysia) bagi Pusat Logistik dan Pengangkutan Maritim Malaysia (MaLTraC).

Perjanjian kerjasama itu bagi menyokong penubuhan MaLTraC dalam menjalankan aktiviti pengumpulan data pengangkutan negara dan penyelidikan berkaitan bidang logistik dan pengangkutan.

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata MaLTraC-CILT merupakan platform untuk melaksanakan strategi pengukuhan teknologi dan pembangunan modal insan MALTRAC dalam ekosistem logistik.

“Dengan kewujudan MaLTraC-CILT ini juga secara tidak langsung membuka peluang kepada UMT untuk mengetengahkan kepakaran yang dimiliki universiti bagi menyumbang dalam bidang maritim melalui Program Pengumpulan Data pengangkutan Negara (National Freight Data Program) dan juga menawarkan kemudahan terhadap industri logistik serta pengangkutan negara melalui kajian, latihan serta perbincangan pakar akademik dan industri serta badan profesional dalam ekosistem yang kondusif dan berstruktur.

Menurutnya, fungsi penubuhan pusat itu dikembangkan kepada beberapa fokus utama termasuk perundingan, pembelajaran dan pengajaran (teaching port), pusat latihan bertaraf antarabangsa dan juga menyediakan platform Maritime Portal menggunakan Automatic Identification System (AIS) dalam mengumpulkan data-data pergerakan kapal dagang di perairan dunia khususnya perairan negara.

“Manakala, melalui teras pusat latihan bertauliah professional, MALTRAC berperanan dalam menyediakan kursus-kursus pembangunan latihan berkemahiran tinggi dan pembangunan modal insan berfokuskan industri maritim melalui kerjasama pihak Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), pihak Human Resources Development Corporation (HRD Corp) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).  Inisiatif ini amat bertepatan dengan nic dan keparan dimiliki UMT.

Katanya, pembangunan dan halatuju MALTRAC kini lebih meluas termasuk Penerbitan dan Persidangan Antarabangsa bagi mewujudkan medan perkongsian kepakaran akademik dan industri ke peringkat yang lebih tinggi dengan kerjasama badan profesional CILT Malaysia.

“Kerjasama antara UMT dan CILT Malaysia dilihat perlu bagi membentuk usaha yang strategik dan inovatif agar usaha komprehensif pemindahan ilmu dan cetusan pandangan yang dijalinkan serta diadunkan dalam perkembangan industri dan pendidikan terkini dapat difokuskan ke arah digital dan media serta seterusnya membawa arus maritim nasional selari dengan perkembangan Revolusi Industri (IR4.0)”. Katanya.