UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Penjenamaan Semula Fakulti di Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Penjenamaan Semula Fakulti di Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Monday, 1/1/2024

Share This Article :

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah menjalani proses penjenamaan semula fakulti sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperkukuhkan lagi identiti dan pencapaian universiti. Langkah ini turut disertai dengan penempatan baharu yang bertujuan untuk menyelaraskan struktur organisasi dengan keperluan semasa dan masa depan pendidikan tinggi di Malaysia.

 

Penjenamaan Semula Fakulti

Satu daripada perubahan utama yang telah dilakukan oleh UMT sempena tahun baharu 2024 adalah penjenamaan semula beberapa fakulti dan penubuhan pusat baharu bagi mencerminkan lebih tepat bidang kepakaran dan peranan masing-masing. Fakulti yang mengalami penjenamaan semula iaitu  Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Informatik (FTKKI) diberi nama baharu iaitu Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTKK).

Manakala penubuhan Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) pula merupakan pecahan daripada FTKKI yang sebelum ini dilihat perlu dilakukan penambahbaikan untuk terus unggul dalam bidang tumpuannya dan ia mencerminkan penumpuan yang lebih jelas ke arah bidang matematik dan teknologi maklumat. Usaha ini sejajar dengan falsafah UMT untuk menyumbang kepada pembangunan sains dan teknologi negara.

 

Penempatan Baharu

Selain penjenamaan semula fakulti, UMT juga telah melakukan penempatan baharu dalam struktur organisasinya. Perubahan ini merangkumi penambahan unit dan bahagian baru yang diwujudkan untuk memperkasakan fungsi dan peranan pentadbiran.

Pentadbiran UMT telah mewujudkan dua jabatan baharu dalam memperkasakan kekuatan universiti iaitu Pusat UMT Life dan Pusat Pengurusan Lestari masing-masing diterajui oleh Prof. Dr. Hafiza Aishah Hashim dan Prof. Madya ChM. Dr. Chia Poh Wai selaku pengarah di pejabat tersebut.

Sementara itu, Ts. Wan Abdul Manan Wan Abdullah dilantik sebagai Pendaftar UMT baharu berkuatkuasa 1 Januari 2024 bagi menggantikan penyandang jawatan itu, Zukiferee Ibrahim.

Zukiferee Ibrahim kini menggalas tanggungjawab baharu apabila dilantik sebagai pengarah Pejabat Komunikasi Korporat UMT berkuatkuasa Januari 2024.

Turut menerima pembaharuan iaitu pelantikan Prof. Madya Dr. Engku Fadzli Hasan Syed Abdullah sebagai Pengarah Pusat Ekosistem Digital Baharu bagi menggantikan Prof. Ts. Dr. Muhammad Suzuri Hitam.

Transformasi yang dilakukan UMT juga mengambilkira peningkatan kapasiti dalam penyelidikan dan inovasi serta khidmat sokongan  bagi pembentukan ekosistem universiti yang seimbang seiring teras utama yang terkandung dalam Pelan Strategik UMT.

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu