UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Gangguan bekalan air : UMT usaha bekalan air alternatif

Gangguan bekalan air : UMT usaha bekalan air alternatif

Sunday, 08/08/2021

Share This Article :

Bekalan air terputus di daerah Kuala Nerus sejak 2 Ogos lalu mencetuskan kegusaran dalam kalangan warga Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang rata-rata berada di daerah itu.

Gangguan air itu turut mengubah rutin harian sekumpulan pelajar yang berada di kampus kerana perlu mendapatkan sumber itu di kawasan parkir berhampiran blok asrama.

Namun, pengurusan tertinggi UMT berusaha mengatasi masalah terputus bekalan air tersebut demi menjaga kebajikan warga kampus terutamanya pelajar yang tinggal di kampus ketika itu.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Madya Dr. Hafiz Zakariya berkata pihaknya melalui Pejabat Pembangunan dan Harta (PPH) telah mengambil langkah terbaik dalam menguruskan krisis itu melalui kolaborasi dengan agensi-agensi luar.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia kerana sudi membantu pihak UMT untuk menyalurkan air bersih sebanyak 40,000 liter air setiap hari menerusi dua lori tangki.

“Bantuan ini amatlah bermakna bagi warga UMT terutamanya pelajar yang berada di kampus untuk menjalani rutin harian.

“Kita juga bersedia dan diberi akses untuk mengambil air dengan menggunakan kenderaan universiti sekiranya mengalami terputus bekalan air.

Tambah beliau, pelbagai agensi yang turut menghulurkan bantuan seperti Iman Care, pejabat Parlimen Kuala Nerus dan lain-lain.

“UMT merakamkan ucapan terima kasih kepada agensi-agensi yang terlibat dalam menguruskan krisis air di UMT seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Aair Negara (SPAN) , Syarikat Air Terengganu Utara (SATU), Jabatan Bomba dan Penyelamat (BOMBA), IMAN CARE, Pejabat Parlimen Kuala Nerus dan lain-lain bagi memastikan bekalan air mencukupi”.

Sementara itu, Pengarah Kolej Kediaman UMT, Ts. Dr. Nik Aziz Nik Ali berkata pihak kolej akan membantu sebaik mungkin dalam memastikan kemudahan air tersedia untuk kegunaan pelajar.

“Buat masa ini, sejumlah 630 pelajar yang tinggal di kampus. Saya ingin menyatakan bahawa pihak Kolej Kediaman akan berusaha sebaik mungkin serta mewujudkan pasukan khas (Task Force) untuk memastikan bekalan air sentiasa mencukupi”.

Pelajar Sarjana Muda Kaunseling, Wan Nor Fatihah Wan Mohd Fauzi menzahirkan rasa syukur atas bantuan air yang diberikan.

“Terima kasih kepada UMT kerana berusaha mendapatkan bekalan air untuk kami. Pada awalnya memang agak resah kerana bekalan air terputus, namun setelah pelbagai bantuan air dihulurkan oleh pelbagai pihak, kami tidak perlu memikirkannnya lagi. Cuma perlu ambil sahaja di tangki statik”.

SATU menerusi kenyataan yang dikeluarkan menjangkakan bahawa krisis itu akan berakhir pada 11 Ogos 2021 setelah kerja-kerja pembaikian saluran paip di dasar sungai Terengganu selesai.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu