UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Harta intelek UMT catat peningkatan sebanyak 124 peratus

Harta intelek UMT catat peningkatan sebanyak 124 peratus

Monday, 22/03/2021

Share This Article :

Kuala Nerus – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencatatkan peningkatan sebanyak 124 peratus dalam usaha memperkasakan produk penyelidikan melalui pendaftaran harta intelek tahun lalu.

Pencapaian luar jangka itu menyaksikan sebanyak 103 produk inovasi berjaya didaftarkan berbanding hanya 14 produk yang ditetapkan dalam Pelan Strategik UMT 2018-2022.

Pengumuman itu dibuat oleh Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar semasa berucap dalam Majlis Amanat Naib Canselor 2021.

Menurutnya, pencapaian itu sekaligus membuktikan gedung ilmu tersohor di pantai timur itu mempunyai kekuatan tersendiri dalam membawa misi dan visi seiring dengan bidang tujahan universiti.

“Pada tahun 2020 menyaksikan kecemerlangan dalam inovasi menerusi pencapaian 103 bilangan produk penyelidikan yang berjaya didaftarkan sebagai harta intelek berbanding 83 pada tahun 2019. Pencapaian ini jauh melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu 14 yang telah ditetapkan di dalam PSUMT 2018-2022.

 

“Pencapaian ini membuktikan kesungguhan para akademia UMT untuk memastikan hasil penyelidikan dan inovasi mereka didaftarkan sebagai harta intelek sebahagian daripada potensi untuk tujuan pengkomersilan.

 

Tambah beliau, UMT telah menggariskan 10 petunjuk prestasi utama (KPI) bagi tahun 2021 bagi melonjakkan lagi prestasi semasa.

Antaranya ialah sasaran 80% kebolehpasaran graduan (GE), 2 per 3 nisbah penerbitan per pensyarah, 20.0 nisbah sitasi per pensyarah, sasaran perolehan RM20.35 juta keseluruhan geran penyelidikan, penetapan sasaran 60 bilangan produk penyelidikan yang berjaya didaftarkan sebagai harta intelek, mensasarkan RM3 juta bagi nilai projek perundingan bersama industri, libat sama 200 bilangan komuniti dengan program pemindahan ilmu, mensasarkan 60 bilangan program dengan rakan industri,  700 bilangan enrolmen pelajar antarabangsa dan mensasarkan 14% penjanaan pendapatan berbanding perbelanjaan mengurus.

 

“Penekanan kepada KPI 2021 seiring dengan keperluan penilaian Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan penarafan oleh badan-badan penarafan antarabangsa dan kebangsaan seperti QS Asia University Rankings, QS World University Rankings by Subject, UI Greenmetric Rankings, Webometric Rankings, Malaysia Research Assessment(MyRa) dan Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (SETARA).

“Selaras dengan peningkatan jumlah pelajar dan warga UMT saban tahun, UMT telah merancang pelbagai projek pembangunan infra dan info struktur khusus bagi memastikan semua warga UMT dapat menikmati suasana pembelajaran dan pekerjaan yang lebih baik”. Katanya.

 

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti malaysia Terengganu