UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

PSNZ UMT aplikasikan teknologi IR4.0, tawar perkhidmatan cekap, kondusif

PSNZ UMT aplikasikan teknologi IR4.0, tawar perkhidmatan cekap, kondusif

Wednesday, 01/03/2023

Share This Article :

Perpustakaan merupakan pusat utama yang menyimpan pelbagai koleksi bahan rujukan yang diuruskan secara sistematik oleh sesebuah organisasi atau perseorangan.

Namun pusat sumber itu perlu berubah seiring perkembangan teknologi dan peredaran zaman bagi memastikan ia kekal relevan.

Kemudahan yang ditawarkan juga dilihat perlu dikemaskini baik dari aspek kemudahan fasiliti, capaian maklumat, akses, mahupun kemudahan aplikasi teknologi.

Kerajaan Malaysia turut menzahirkan komitmen dalam menaiktaraf perpustakaan yang menjadi nadi utama untuk seseorang mendapatkan bahan bacaan khususnya mahasiswa.

Menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dianugerahkan peruntukan berjumlah RM82 juta. Rentetan itu, sejumlah RM10 juta diperuntukkan bagi Kemudahan Infrastruktur dan Infostruktur ICT UMT IR 4.0.

Selaras dengan kewujudan UMT sebagai sebuah universiti berfokus bidang marin dan sumber akuatik, Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah (PSNZ) juga memperoleh peruntukan kira-kira RM3 juta di bawah elemen kemudahan Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Tinggi 4.0 ICT UMT/UMT Marine’s 4.0.

Pengurusan PSNZ UMT optimis dalam merencanakan pelbagai pembaharuan dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan yang majoriti dari kalangan mahasiswa dan penyelidik.

Ketua Pustakawan UMT, Abu Hasan Ghazali berkata, pengurusannya telah melaksanakan beberapa fasa peralihan dan upgrade kemudahan.

“PSNZ berusaha dalam meningkatkan kualiti penyampaian dan pengurusan maklumat kepada pengguna perpustakaan melalui penggunaan teknologi berkonsepkan Revolusi Industri 4.0 yang mana selari dengan pelan strategik UMT.

“Projek yang diluluskan pelaksanaannya melibatkan dua fasa dan dipecahkan mengikut tiga kategori utama iaitu Perisian, Peralatan/Mesin dan Ubahsuai Platform/Ruang. Fasa 1 telah disiapkan sepenuhnya pada tahun 2022 setelah mengalami penangguhan projek akibat pelaksanaan PKP di seluruh negara dan pelarasan semula projek akibat kenaikan harga bahan mentah serta khidmat bekalan dan kini kerja-kerja menaiktaraf bagi Fasa 2 sedang berjalan dan  dijangka siap sepenuhnya pada 2024.

Menurutnya, antara projek pengubahsuaian dan menaiktaraf perpustakaan tersebut seperti Studio Rakaman, Ruang Bacaan 24jam, Arkib Digital, Sistem repositori UMT (UMT-IR) yang menempatkan tesis, laporan projek dan penerbitan UMT, Mesin penghantaran bahan layan diri / Bookdrop, Video wall/Digital Signage, Aduino & raspberry kit, Smart TV dan Google Home.

“Kita juga bangunkan aplikasi khas bagi memudahkan pelanggan untuk membuat tempahan bilik, carian dan pinjaman bahan perpustakaan hanya melalui telefon pintar.

Selain itu, katanya, bagi mengoptimumkan kefungsian perpustakaan, pihaknya juga mewujudkan Sudut Korporat PSNZ dalam usaha menarik perhatian syarikat korporat untuk bersama-sama bangunkan PSNZ.

“Sudut Korporat PSNZ merupakan salah satu usaha pihak pengurusan PSNZ dalam menjalinkan hubungan kerjasama bersama pihak korporat dalam mambangunkan koleksi, perkhidmatan dan kemudahan di perpustakaan yang secara tidak langsung memberi peluang kepada pengguna perpustakaan menerima manfaat hasil kerjasama ini.  Untuk tujuan ini, pihak pengurusan telah berhubung erat bersama pihak Etiqa General Takaful Berhad dan juga Yayasan Bank Rakyat dalam merealisasikan hasrat yang direncanakan.

Tambahnya, Etiqa General Takaful Berhad melalui usahasama Akademi Zakat (AZKA-PPZ) telah mewujudkan AZKA Corner di PSNZ yang mana menyediakan sudut bacaan yang selesa dan khususnya berkaitan subjek Zakat, Wakaf, Kewangan Islam dan Kewangan Sosial Islam melibatkan dana berjumlah RM14,980 dari peruntukan Wakalah Agihan Zakat Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dari bayaran zakat Etiqa General Takaful Berhad.

Selain itu, kerjasama antara kedua-dua pihak itu turut membuahkan hasil apabila Etiqa General Takaful Berhad turut menyalurkan bantuan kepada sekolah daif yang juga merupakan sekolah angkat UMT berjumlah RM65,000 melalui Zakat Perniagaan Etiqa General Takaful Berhad bagi pembelian peralatan dan perabot bagi kegunaan pusat sumber sekolah-sekolah tersebut yang akan diuruskan oleh PSNZ.

Rozily Jaafar, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Pantai Timur, Etiqa berkata, “Kami sangat berbesar hati kerana dapat turut serta di dalam merealisasikan usaha murni ini bersama Universiti Malaysia Terengganu. Sumbangan ini merupakan salah satu usaha kami untuk pembangunan modal insan demi masa depan anak bangsa yang cerah. Mudah-mudahan, kemudahan-kemudahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dengan baik dan terpelihara.”

“Selari dengan visi kami untuk menjadikan dunia ini sebuah tempat yang lebih baik, atau Making The World a Better Place, projek yang telah berjaya dilaksanakan ini merupakan sebuah lagi bukti keperihatinan Etiqa dalam meningkatkan mutu kehidupan, sosial dan ekonomi masyarakat yang memerlukan bantuan di bawah program tanggungjawab sosial korporat kami dibawah slogan ‘Etiqa Cares’,” tambahnya lagi.

Penubuhan SIR Corner (Serambi Ilmu Rakyat) – Yayasan Bank Rakyat menjadi petanda positif bagi kerjasama strategik antara PSNZ UMT dan Yayasan Bank Rakyat dalam meningkatkan mutu perkhidmatan.

Yayasan Bank Rakyat melalui Perpustakaan Digital Serambi Ilmu Rakyat atau lebih dikenali dengan nama ‘SIR Corner’ telah menyumbangkan set kelengkapan ‘SIR Corner’ kepada Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah UMT bagi memanfaatkan seluruh pelajar UMT dalam mendapatkan maklumat terkini serta bahan-bahan bacaan ilmiah secara digital.

SIR Corner yang menelan kos pembinaan sebanyak RM15,000 memerlukan perbelanjaan kira-kira RM350,000 setiap tahun untuk yuran langganan dan pangkalan data bahan-bahan digital dibiayai oleh Yayasan Bank Rakyat khas untuk memudahkan mahasiswa membuat carian ilmu tanpa sempadan serta sebagai alternatif kepada pelajar untuk mencari sumber rujukan dalam penghasilan tesis atau tugasan.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata inovasi perkhidmatan perpustakaan digital sesuai dengan trend masyarakat yang menggunakan gajet seperti telefon pintar untuk mendapatkan bahan rujukan.

“Pihak pengurusan universiti senantiasa mengambil kira aspek-aspek penambahbaikan yang boleh dilaksanakan terhadap pengisian fasiliti ini, khususnya berkaitan penggunaan teknologi terkini seperti aplikasi telefon pintar, pemantapan kandungan digital dan infra perpustakaan yang kondusif kepada penggunanya kerana ianya merupakan “nadi” yang menyimpan dan menyebar kesarjanaan ilmu sesebuah universiti”. Katanya.

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

01 Mac 2023