KUALA NERUS – Majlis Konvokesyen UMT Kali Ke-16 2018 berlangsung dengan penuh istiadat dan gilang gemilang pada tanggal 11 hingga 13 November 2018.

 

Majlis konvokesyen tahun ini menyaksikan seramai 2,970 orang graduan menerima anugerah iaitu 39 orang Ijazah Doktor Falsafah, 156 orang ijazah Sarjana, 2,647 orang Ijazah Sarjana Muda, dan 128 orang penerima Diploma. Jumlah graduan yang diraikan pada tahun ini meningkat sebanyak 10% berbanding 2017.

 

Profesor Dato` Dr. Nor Aieni binti Haji Mokhtar, Naib Canselor UMT dalam ucapannya berkata majlis kali ini turut meraikan penerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Sains, Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan dan penerima gelaran Profesor Emeritus.

 

Turut diraikan pada majlis itu penerima Anugerah Pelajar Diraja, Anugerah Pingat Emas Canselor, Anugerah Pro Canselor, Anugerah Pengarah LPU dan Anugerah Naib Canselor.

 

“UMT amat berbangga dengan peningkatan 8% pelajar cemerlang kelas pertama pada tahun ini dan peningkatan tersebut membuktikan bahawa UMT sentiasa cakna dengan perkembangan pembelajaran dan pengajaran yang berkesan”. Katanya.

 

“Majlis konvokesyen pada tahun ini juga menyaksikan kejayaan UMT melahirkan graduan sulung dalam dua program baharu iaitu Sarjana Kaunseling dan Sarjana Muda Sains Agroteknologi (Sains Tanaman)”.

 

“Kadar kebolehpasaran graduan turut meningkat pada tahun 2017 kepada 73.2% berbanding 70.1% pada tahun 2016. Peningkatan sebanyak 3.1% ini juga telah melebihi sasaran yang telah ditetapkan iaitu 70% dan merupakan kadar tertinggi yang pernah dicapai setakat ini”. Ujarnya.

 

“Peningkatan ini membuktikan bahawa kualiti graduan dan program pengajian UMT berada pada tahap membanggakan dan mampu bersaing di pasaran kerja”.

 

“Rekod Alumni UMT mencatatkan seramai 30,067 graduan UMT bergelar Alumni UMT bermula 1997 dan mereka bertindak sebagai Duta UMT keseluruh dunia”. Tambahnya.

 

Profesor Dato` Dr. Nor Aieni dalam ucapannya turut berkata  dalam usaha untuk melahirkan graduan holistik, selain penekanan akademik dan penyelidikan, graduan UMT turut didedahkan dengan program kepimpinan, keusahawanan, dan program kesukarelawanan yang mampu meningkatkan kualiti dan pencapaian pelajar agar mampu berdaya saing.

 

Turut diraikan tujuh graduan kategori Orang Kelainan Upaya (OKU) dan penganugerahan ijazah secara Anumerta disampaikan kepada keluarga pelajar yang telah meninggal dunia akibat penyakit anemia.

 

Pro-Canselor UMT, YBhg. Tan Sri Samsudin Osman mewakili Canselor UMT, Sultanah Nur Zahirah menyampaikan penganugerahan kepada graduan yang meraikan majlis konvokesyen UMT ke-16.

 

Dikeluarkan Oleh :

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu