UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

20 tahun UMT : Meningkat Unggul, Cipta Kecemerlangan

20 tahun UMT : Meningkat Unggul, Cipta Kecemerlangan

Thursday, 08/07/2021

Share This Article :

Bermula sebagai sebuah institusi kecil yang bertapak di Kg. Pak Tuyu, Mengabang Telipot, Kuala Nerus, Terengganu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kini telah menjangkau usia 20 tahun penubuhannya pada tahun 2021. Pada tahun 2001, institusi ini telah disenaraikan sebagai Institusi Pengajian Tinggi Awam ke-14 dalam negara dengan nama Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM).

 

Menyingkap kembali sejarah penubuhan, KUSTEM telah dijenamakan semula dengan nama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada tahun 2007. Universiti ini telah melalui pelbagai peringkat revolusi dari pelbagai aspek demi mengejar cita-citanya untuk menjadi sebagai pusat rujukan bidang sains kelautan terkemuka sekaligus meletakkan nama UMT sebaris dengan universiti awam yang jauh lebih ‘berusia’.

 

Berpegang teguh pada bidang tujahan “Ilmu Kelautan dan Sumber Akuatik”, UMT berada dalam kelasnya yang tersendiri dalam kalangan universiti berfokus lain khususnya di Pantai Timur di pesisir Laut China Selatan.

 

UMT telah bermula sebagai Pusat Perikanan dan Sains Samudera, Universiti Pertanian Malaysia (kini dikenali sebagai Universiti Putra Malaysia) pada tahun 1979. Namun, dengan permintaan dan pembangunan pesat institusi pengajian tinggi waktu itu, kerajaan telah mengumumkan pusat berkenaan dinaikkan taraf menjadi Kolej Universiti Terengganu (KUT) dan mendapat kuasa autonomi pada tahun 2001.

 

Bermula dengan bilangan staf keseluruhan seramai 614 orang, UMT kini mempunyai kekuatan kakitangan hampir 2000 orang terdiri daripada staf pengurusan yang berpengetahuan luas dan ahli akademik dari pelbagai bidang tujahan dan kepakaran. Sepanjang 20 tahun, seramai lima Naib Canselor telah mentadbir UMT dengan penuh karisma dan kekuatan dalam mengangkat nama UMT ke peringkat global.

 

 

Kecemerlangan UMT terselah apabila Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) diiktiraf sebagai satu-satunya Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) ke-7 di Malaysia pada tahun 2012 dalam bidang Sains Marin dan Oseanografi. Pengiktirafan ini telah mula membuka ‘jalan’ yang lebih luas untuk institusi ‘muda’ ini mengorak langkah memecut kehadapan dengan membawa slogan ‘Terokaan Seluas Lautan Demi Kelestarian Sejagat’.

 

 

Selain INOS, sebuah institut yang tidak kurang hebatnya dalam menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sejak awal penubuhan UMT iaitu Institut Akuakultur dan Tropika (AKUATROP) telah mendapat pengiktirafan penting sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HiCOE) bagi Teras Penyelidikan dan Inovasi pada Januari lalu.

 

AKUATROP telah merangka empat program penyelidikan iaitu Aquaculture Resource Sustainability, Aquaculture Breeding Technology, Aquaculture Green Technology dan Fish Health and Food Quality Assurance bagi menyokong Dasar Keselamatan Makanan Negara di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mei tahun 2020.

 

Sebagai sebuah universiti, penerokaan kajian dalam bidang tujahan merupakan suatu amalan kebiasaan oleh penyelidik. Hasil penemuan baharu itu menjadi nyawa dan nadi yang menggerakkan institusi ini ke aras yang lebih baik di peringkat kebangsaan mahupun global.

 

Sejarah membuktikan bahawa penyelidik UMT telah menemukan pelbagai petanda baharu dalam meneruskan aktiviti kajian mereka. Antaranya yang boleh disingkap ialah fenomena arus laut – Upwelling ; arus yang membawa air bernutrien tinggi dari dasar ke permukaan laut; melalui pengumpulan data berterusan di Laut China Selatan yang pertama kali dibuktikan di sepanjang kawasan pantai Timur Semenanjung Malaysia dan penemuan ini membuka dimensi baharu bagi membantu para nelayan mengenalpasti kawasan berpotensi tinggi dalam industri perikanan.

 

UMT juga telah memperkenalkan inovasi baharu dalam proses mempercepatkan kolonisasi karang bagi membentuk terumbu karang yang dinamakan Pelantar Perladangan Karang yang juga telah dipatenkan di Malaysia Intellectual Property Corporation (MyIPO).

 

Pencapaian UMT tidak pernah berakhir dan pengurusan UMT sentiasa menyokong saintis menjalankan kajian tidak mengira bangsa dan gender. Pernah tular pada tahun 2019 berkaitan pengiktirafan yang diberikan oleh L’Oreal – UNESCO kepada penyelidik UMT, Profesor Madya Dr. Wan Iryani Wan Ismail yang telah menyumbang kecemerlangan beliau dalam penyelidikan bertajuk “Can honey consumption control obesity? A new notion in understanding the mechanism of action”.

 

Turut mendapat anugerah pada pentas yang sama iaitu Profesor Madya Dr. Wahizatul Afzan Azmi setelah kajian beliau turut diangkat dan secara tidak langsung memberi impak besar terhadap kecemerlangan UMT pada tahun 2014.

 

Usaha meletakkan jenama UMT diperingkat global tidak pernah terencat, malah semakin agresif dengan pelbagai indeks prestasi utama yang diperkenalkan oleh tokoh-tokoh pimpinan universiti yang mempunyai visi yang jelas serta sokongan padu daripada kalangan warga yang optimis terhadap perubahan ke arah lebih baik.

 

Lebih membanggakan apabila UMT yang dahulunya sebuah institusi kecil telah berada di satu penanda aras peringkat antarabangsa melalui pelbagai penarafan antaranya QS World University Rankings, QS Asian University Rankings, QS Subject Rankings, THE World University Rankings, THE Impact Rankings, UI Green Metric Rankings, Highly Cited Researchers (Web of Science), Malaysia Research Assessment (MyRA) dan Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (SETARA).

 

Sementara itu, Prof. Dr. Mazlan Abd Ghaffar yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMT berkata kecemerlangan UMT hari ini bukti kesungguhan warga UMT dalam membawa jenama UMT ke peringkat lebih tinggi.

 

“Kesemua penarafan ini sememangnya telah memberikan impak yang signifikan bagi keterlihatan global universiti serta bakal menjadikan UMT sebagai “3R and 1D University” (Respected, Referred, Relevant, Distinctive) sekaligus akan meningkatkan kemasukan pelajar antarabangsa termasuk kerjasama akademik dan penyelidikan UMT bersama universiti tersohor di dunia.

 

“Universiti boleh berkembang luas dengan warganya yang berfikiran global dan inovatif serta mampu bertindak secara glokal.

 

“Aspirasi ini, saya kira, boleh dikembangkan lagi di UMT, agar kita TERUS mengungguli sebagai Universiti Terfokus dalam bidang sains marin dengan kepelbagaian ilmu, penyelidikan, idea baharu serta kualiti pendigitalan pendidikan yang terbaik untuk mahasiswa, dan kita bukan sahaja menjadi rujukan di persada antarabangsa malah membawa manfaat kepada komuniti tempatan dan negara jua”. Beliau berkata ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Penubuhan UMT Ke-20 pada 1 Julai 2021 yang diadakan secara maya.

 

Kini UMT telah mencatatkan seramai 33,000 graduan UMT bergelar alumni bermula tahun 2003. Alumni UMT bertindak sebagai Duta UMT ke seluruh dunia membawa nama institusi ini. Persatuan Alumni UMT merupakan saluran terbaik menghubungkan UMT, ke arah perhubungan yang lebih kukuh dan dapat kembali memberi sumbangan kepada universiti daripada pelbagai segi melalui program-program yang dianjurkan.

 

SELAMAT ULANG TAHUN KE-20 UMT. TERUS SOHOR!

 

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu