KUALA NERUS – Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah hari ini berkenan melancarkan sebuah buku berkisar keindahan dan keunikan negeri Terengganu dalam majlis Santapan Malam Sempena Majlis Konvokesyen UMT Ke-16 Tahun 2018 di sini.

 

Buku berjudul Beautiful Terengganu itu diterjemah kepada lima Bahasa iaitu Bahasa Arab, Bahasa Jerman, Bahasa Perancis, Bahasa Mandarin dan Bahasa Jepun bagi tujuan mempromosi keunikan dan merancakkan aktiviti pelancongan Terengganu.

 

Buku yang dihasilkan menerusi kolaborasi bersama Pejabat Pelancongan Negeri Terengganu itu merangkumkan pelbagai tempat menarik di negeri Terengganu.

 

UMT komited untuk lebih menonjol dengan meletakkan penterjemahan sebagai salah satu strategi meluaskan sasaran pembaca. Kredibiliti UMT akan dapat ditonjolkan dengan lebih meluas.

 

Penterjemahan buku Beautiful Terengganu juga bakal menjadi pemangkin untuk penterjemahan buku-buku lain pada masa akan datang khasnya buku-buku yang bercirikan Malaysiana dan berteraskan bidang nic UMT sekali gus mengangkat citra UMT ke persada antarabangsa.

 

Usaha penterjemahan dan penerbitan yang dilaksanakan oleh Penerbit UMT ini juga menyumbang kepada kerancakkan kempen promosi Visit Beautiful Terengganu 2018 dan Tahun Melawat Malaysia 2020 serta promosi Kuala Lumpur, Kota Buku Dunia 2020.

 

Pameran Quran Emas

 

Dalam majlis yang sama, buat julung kalinya al-Quran emas warisan kesultanan Terengganu dipamerkan setelah kajian terperinci mengenainya berjaya dilaksanakan oleh penyelidik UMT iaitu Dr. Riswadi Azmi yang juga Pengarah Pusat Islam Sultan Mahmud UMT.

 

Pameran ini dipersembahkan kepada KDYMM Tuanku Sultan dan KDYMM Sultanah Terengganu pada Majlis Santapan Malam sempena Majlis Konvokesyen UMT Ke-16 tahun 2018 pada 10 November 2018.

 

UMT menerusi Pusat Islam Sultan Mahmud mengambil peluang ini untuk mempamerkan kepada masyarakat umum akan keindahan dan kemewahan manuskrip al-Quran Terengganu yang tertua setakat ini dijumpai bertarikh 27 Disember 1836 masihi yang pernah dihasilkan ketika zaman Sultan Mansor II pada tahun 1831-1836 masihi.

 

Manuskrip al-Quran kedua tertua yang pernah dijumpai mempunyai catatan bertarikh 18 Mac 1859 masihi iaitu ketika zaman Sultan Baginda Omar dan ketiga tertua  adalah manuskrip al-Quran Terengganu terbesar dan mempunyai catatan tarikh 1871 masihi yang juga ketika zaman Sultan Baginda Omar.

 

Menurut Dr. Riswadi, Terengganu muncul sebagai negeri yang terkenal dengan penyalinan mushaf al-Quran yang unik dengan hiasan emas dan ragam hias yang indah di Asia Tenggara.

 

“Ini dibuktikan apabila kajian menjumpai beberapa buah manuskrip al-Quran Terengganu dipelbagai lokasi.

 

“Pameran ini meliputi hasil kajian mengenai sumbangan kesultanan Terengganu dalam penyalinan al-Quran, sejarah penulisan dan percetakan dan gambar beberapa manuskrip al-Quran Emas yang terdapat di Malaysia dan Indonesia.

 

Pameran manuskrip al-quran tersebut dibuka kepada umum pada 11-13 November 2018 di Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT.

 

Dikeluarkan oleh:

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu