UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

TEROKAI DUNIA STEM MELALUI MODUL STEM INTERAKTIF

TEROKAI DUNIA STEM MELALUI MODUL STEM INTERAKTIF

Thursday, 16/11/2023

Share This Article :

Disediakan oleh: Rozita bt Alias@Abdul Latiff

Pegawai Tadbir, Pejabat Komunikasi Korporat, Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

 

Sains, Teknologi, Engineering dan Matematik (STEM) membawa masyarakat kepada era revolusi industri 4.0, yang terus menuntut pembaharuan, inovasi, dan pemerkasaan masyarakat melalui pengetahuan dan kemahiran. Di Terengganu, kerajaan negeri telah meletakkan dasar-dasar bagi mengukuhkan pendidikan dan pembangunan dalam bidang STEM di semua sokolah.

Namun cabaran yang perlu dihadapi dalam dunia pendidikan di mana fakta menunjukkan terdapat penurunan bilangan pelajar dalam memilih bidang STEM ke peringkat lebih tinggi. Perkara ini terjadi kerana para pelajar sering kali beranggapan bidang STEM ini terlalu rumit untuk diterokai. Malah pendedahan aplikasi STEM kepada para pelajar tidak meluas terutama sekolah-sekolan di kawasan pedalaman. Secara tidak langsung, graduan yang dihasilkan tidak memenuhi kehendak industri.

Pendidikan STEM perlu diperkukuhkan lagi memandangkan peranannya amat besar dalam melahirkan modal insan yang kompeten bagi memecahkan cabaran kompleks seterusnya membantu mencipta masa depan masyarakat yang lebih baik.

Menyedari hakikat ini Jawatankuasa Pelaksana STEM Negeri Terengganu yang dipengerusikan oleh Profesor Madya Dr. Laili binti Haji Che Rose, Pengarah Pusat Asasi STEM Universiti Malaysia Terengganu (UMT), bertanggungjawab dalam penghasilan modul Kembara STEM seterusnya dilancarkan dengan jayanya bersama rakan kolaborasi.

Menariknya modul Kembara STEM yang diperkenalkan ini mengandungi lima modul STEM hibrid yang akan menjadi tunjang kepada semua aktiviti. Lima modul ini didirikan berdasarkan kepakaran dari 5 organisasi berbeza. Lima modul tersebut adalah STEM Kelautan dibangunkan oleh pakar-pakar UMT, STEM Kesihatan dibangunkan dengan kepakaran Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA), STEM Eksplorasi oleh Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA), STEM Kreativiti dan Inovasi menggunakan kepakaran Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) dan STEM Robotik dibangunkan oleh Jazro Robotik.

Gabungan strategik ini diharapkan dapat membantu memperkasakan minat STEM di kalangan murid dan guru sekolah di Negeri Terengganu khususnya dan Malaysia umumnya. Modul Kembara STEM yang dibangunkan dengan menonjolkan bidang tujahan masing- masing sangat istimewa dan diharapkan pihak sekolah yang menerima modul ini dapat menggunakannya sebaik mungkin.

Menurut Ustaz Haji Ahmad Shah bin Muhamed, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu melalui teks ucapan perasmian yang dibacakan mewakili Dato‘ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, Menteri Besar Terengganu berkata keberhasilan Modul Kembara STEM ini berperanan sebagai satu rujukan dan panduan kepada pelajar-pelajar Terengganu untuk mengeksplorasi dunia STEM dengan lebih mendalam. Modul ini juga akan menjadi salah satu alat  bantu mengajar dalam pemindahan ilmu.

Tambahnya proses ini tentunya memerlukan bimbingan fasilitator dan mentor yang terlatih bagi tujuan membina asas pengetahuan yang kukuh demi masa depan yang lebih terjamin.

Modul ini telah berjaya diimplementasi melalui dua (2) program utama. Pertama, program Terengganu Peers STEM Coaching (TPSC) pada tahun 2022 yang melibatkan 25 buah sekolah elit dengan penyertaan 625 murid dan 125 sekolah harian biasa dengan penyertaan 3125 murid. Manakala, program kedua adalah STEM Educators Bootcamp 2023 melibatkan para guru sahaja seramai 233 orang dari 124 buah sekolah sekitar Terengganu.

Sementara itu Naib Canselor UMT, Profesor Dato’ Dr. Mazlan bin Abd Ghaffar berkata Modul Kembara STEM yang dihasilkan oleh Jawatankuasa Pelaksana STEM Terengganu dengan sokongan dari kerajaan Negeri Terengganu adalah satu kejayaan besar dalam memperkasakan STEM di kalangan guru dan murid sekolah terutamanya di Negeri Terengganu.

Ujarnya Kerajaan Negeri Terengganu melalui Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn Bhd telah menyumbang sebanyak RM210,000.00. Terengganu Incorporated Sdn Bhd selaku syarikat induk yang menguruskan pelaburan komersial kerajaan negeri dan ank syarikatnya, Syarikat Air Terengganu Sdn Bdh (SATU) bekerjasama menjayakan Kajian Memperkasakan STEM dalam kalangan murid sekolah melalui Program Terengganu Peers STEM Coaching (TPSC). Antara hasil dapatan daripada kajian ini adalah penghasilan Modul Kembara STEM dan penulisan artikel jurnal.

Penghasilan modul ini turut membuktikan usaha bersepadu pihak Institusi Pengajian Tinggi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam membantu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempromosikan STEM seterusnya menarik minat pelajar menerokai bidang STEM. Dengan tajaan sumbangan daripada pihak Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) sebanyak RM149,000.00 program STEM Educators Bootcamp 2023 dapat dilaksanakan dengan jayanya dengan memberi fokus kepada pemindahan ilmu kepada guru-guru melalui pakar-pakar penulis dari semua bidang. 

”Modul ini berperanan sebagai salah satu solusi dalam usaha menangani masalah penurunan penglibatan pelajar dalam bidang STEM. Usaha yang paling penting adalah mengubah perspektif pelajar terhadap STEM, melakukan transformasi dalam teknik penyampaian ilmu STEM yang lebih kreatif sehingga mampu menjadikan subjek STEM mudah dipelajari dan difahami. 

”Begitu juga dari sudut pemerkasaan pendedahan, modul ini perlu diperluaskan ke seluruh Negeri termasuk ke kawasan pedalaman yang mempunyai had akses ilmu pembelajaran STEM“. Ujarnya.

Diharapkan melalui keberhasilan modul ini akan lebih membuka ruang dan peluang kepada para pelajar untuk mendalami dunia STEM seterusnya memberi dokongan terhadap hasrat kerajaan dalam melahirkan lebih ramai pelajar dalam bidang STEM bagi memenuhi kehendak dan permintaan pasaran.

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu