KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencipta kelainan menyambut Nuzul Quran pada 22 May 2019 menerusi penganjuran program Mengaji Tanpa Henti selama 123 jam.

Program selama lima hari bermula pada hari Jumaat, 17 Mei itu diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai program mengaji al-Quran tanpa henti terpanjang di negara ini.

Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, seramai 500 peserta terdiri daripada pelajar, kakitangan dan masyarakat setempat terlibat dalam tadarus al-Quran terbabit yang diadakan di Studio Al-Quran Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT.

“Sepanjang tempoh lima hari berkenaan, kesemua peserta yang mengaji al-Quran secara bergilir-gilir terbabit berjaya khatam sebanyak lima kali.

“Peserta turut melibatkan komuniti setempat termasuk golongan orang kelainan upaya penglihatan, warga emas dan kanak-kanak,” katanya selepas menghadiri majlis penutup program UMT Mengaji Tanpa Henti di Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT.

Beliau turut menyifatkan program itu cukup bermakna berdasarkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat iaitu warga emas, golongan cacat penglihatan, kanak-kanak berumur 6 hingga 8 tahun selain mualaf dan pelajar antarabangsa.

Penganjuran program itu antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada peserta dan masyarakat bahawa budaya amalan membaca dalam kehidupan seharian bukan hanya untuk ibadat semata malah sebagai terapi dan pedoman hidup.

Dalam majlis tersebut juga UMT berbesar hati menerima sumbangan zakat dari Etiqa Family Takaful Berhad berjumlah RM100,000.00 untuk disalurkan kepada asnaf pelajar UMT yang memerlukan.  

Sumbangan zakat ini merupakan kali yang ke 5 sejak tahun 2012. UMT juga telah memperkenalkan Dermasiswa Al-Islah Etiqa Takaful Berhad bagi menyalurkan sumbangan zakat tersebut kepada asnaf pelajar UMT.

Majlis penutup yang disempurnakan Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, Yahya Ali, Nor Aieni menerima sijil pengiktirafan daripada wakil MBOR, Mohamad Nazrul Hafizi Ahmad Fauzi