UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Penyelidikan Translasional UMT, “Universiti Selidik, Rakyat Sejahtera”

Penyelidikan Translasional UMT, "Universiti Selidik, Rakyat Sejahtera"

Sunday, 04/02/2018

Share This Article :

Langkah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkenalkan Penyelidikan Translasional boleh disifatkan sebagai satu cabaran kepada para penyelidik di universiti tempatan. Ia merupakan suatu bentuk pengiktirafan terhadap hasil penyelidikan dan inovasi para penyelidik dan pada masa yang sama, memberikan peluang hasil tersebut dimanfaatkan terus kepada rakyat melalui pemberian geran penyelidikan Kementerian seperti Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS), Skim Geran Kajian Protaip (PRGS), Skim Geran Penyelidikan Transdisiplinari (TRGS) dan Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS). Ini merupakan antara intipati utama oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Idris Jusoh semasa mengumumkan pelaksanaan Penyelidikan Translasional awal tahun 2017 yang lalu agar penemuan-penemuan penting ini dapat meningkatkan taraf hidup, kualiti kesihatan serta kesejahteraan rakyat.


Sehingga kini, lebih daripada 20 hasil penyelidikan universiti tempatan telah dilancarkan melalui Penyelidikan Translasional merangkumi pelbagai aspek seperti perubatan, pertanian, perikanan, kit pengajaran, pelancongan, kejuruteraan dan penemuan baharu dalam pelbagai cabang ilmu. Setiap universiti yang terpilih diperuntukan sejumlah dana oleh KPT bagi memastikan kejayaan sesebuah projek berdasarkan bidang kepakaran kumpulan penyelidik di universiti tersebut. Dengan mandat yang diberikan oleh KPT ini, semua projek di bawah geran ini disusun sebagai sebuah program “Blockbuster” yang manfaat akhirnya dinikmati oleh kumpulan sasar iaitu masyarakat umum.

Kepakaran UMT Diiktiraf

UMT telah diberikan amanah dalam membangunkan dan melestarikan 3 projek yang bernaung dibawah geran Penyelidikan Tranlasional. 2017 telah menyaksikan pelancaran dua projek iaitu Projek Translasional Kuda Laut & Belangkas yang menyaksikan sinergi kerjasama antara penyelidik dan warga UMT bersama komuniti sekitar Besut dan Setiu. Projek jangkamasa panjang ini dilihat mampu meremajakan semula Setiu dan Besut sebagai lokasi industri pelancongan berkonsepkan Marine-Edutourism dengan mempunyai kekuatan produk Marin utamanya iaitu Kuda Laut dan Belangkas yang terbukti mempunyai banyak sumbangan dan khasiat dari segi biodiversiti kawasan, kesihatan, pendidikan dan lain-lain lagi.

Tahun 2018, UMT sekali lagi menyahut cabaran KPT dan lebih mengujakan, projek ini merupakan kolaborasi ulung dalam mana2 penyelidikan translasional.  Dengan mendokong prinsip “Kebersamaan dan Keserakanan”, melalui geran Penyelidikan Translasional, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersama – sama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah bergerak membentuk satu pasukan khas dalam merangka dan menjayakan projek menyediakan air bersih kepada penduduk kawasan Kampung Pantai Senok, di Jajahan Bachok Kelantan. Ia merupakan langkah terkehadapan dalam menyokong KPT di bawah dasar Jaminan Air Kebangsaan yang mencari jalan alternatif atau penyelesaian masalah bekalan air untuk jangka masa panjang.

 

Hasil dapatan kajian yang dilakukan oleh kumpulan penyelidik UMT sebelum pembinaan loji ini mendapati, masalah bekalan air yang melanda kawasan terbabit menjadi pilihan utama dalam menentukan lokasi pembinaan loji. Kesukaran mendapatkan bekalan air bersih yang dialami oleh penduduk bakal diatasi dengan siapnya projek ini kelak. Daripada kajian tersebut juga merumuskan bahawa kesesuaian kandungan sumber air laut di kawasan ini untuk diproses, telah menepati keperluan sistem teknologi membran.

Projek ini merangkumi pembinaan sebuah loji dengan komponen sistem yang berasaskan teknologi membran untuk menapis air laut melalui proses penyahgaraman sehingga menghasilkan air tawar bersih untuk kegunaan harian penduduk. Loji tersebut merupakan yang pertama seumpamanya dibina di Malaysia berskala besar dan bakal menjadi tumpuan pelbagai pihak terhadap tahap keberkesanan dan impaknya kepada komuniti.  Ia dijangka mampu menyediakan sumber bekalan air bersih kepada lebih 3,300 penduduk sekitar kawasan tersebut.

Kesan jangka panjang kepada perubahan sosio ekonomi

Ketiga-tiga lokasi projek menyaksikan potensi tinggi bagi setiap lokasi untuk terus dibangunkan dan diremajakan kembali. Melihat kepada nilai tinggi ini, UMT akan terus menerus menjalankan kajian lanjut dan pemerhatian dari aspek perubahan sosio ekonomi, pembangunan kawasan dan analisa kitar hidup yang akan dipengaruhi kesan daripada adanya projek-projek translasional ini.  Projek-projek ini akan menjadi nukleus kepada pembangunan kawasan sekitar Jajahan Bachok, Setiu dan Besut yang kaya dengan pelbagai biodiversiti selain merupakan lokasi tarikan kerana kedudukannya yang unik di tepi laut dan muara sungai dengan pemandangan landskap tersusun, yang acap kali menjadi tumpuan pelancong tempatan mahupun luar negara.

Sokongan dan kerjasama pelbagai pihak

Faktor kejayaan Penyelidikan Translasional ini banyak dipengaruhi oleh sokongan dan kerjasama erat antara penyelidik dan komuniti yang terlibat. Sejak pelaksanaannya, pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan pemimpin setempat telah tampil memberikan sokongan jitu termasuk bantuan teknikal bagi memastikan ia berjalan lancar.  Penyelidikan Translasional bukan sahaja menjadi penyelesaian jangka pendek kepada komuniti, malah lebih daripada itu, ia menjadi pencetus kepada perubahan secara langsung sosio ekonomi penduduknya dan memastikan pemindahan ilmu atau teknologi yang dikuasai oleh penyelidik ulung di universiti awam dapat dilakukan melalui konsep inovasi sosial. Peranan yang dimainkan oleh para penyelidik yang terlibat wajar dihargai dan disokong dengan penuh tanggungjawab oleh masyarakat.

UMT menyambut baik hasrat KPT yang memperkenalkan Penyelidikan Translasional yang memberikan impak dan manfaat kepada kerajaan, akademia, industri dan komuniti dan kelak, akan membuka satu lagi lembaran baharu terhadap komitmen kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus diutamakan dengan mengambil manfaat daripada perkembangan teknologi dan kepakaran tempatan.