UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Peranan universiti penting dalam usaha tingkatkan kualiti hidup nelayan

Peranan universiti penting dalam usaha tingkatkan kualiti hidup nelayan

Sunday, 28/1/2024

Share This Article :

Malaysia mempunyai laut dan pantai yang panjang memiliki akses langsung kepada aktiviti penangkapan hasil laut. Kekayaan biodiversiti marin menyumbang kepada kepelbagaian spesis sumber perikanan dan secara tidak langsung memberi pulangan kepada nelayan.

Namun, isu nelayan yang juga termasuk dalam kategori B40 sering dibincang di pelbagai peringkat. Ia agak kontra dengan kekayaan hasil laut dimiliki negara berbanding pengkelasan kumpulan yang ditetapkan kepada golongan itu.

Perkembangan teknologi dilihat berupaya untuk membantu golongan nelayan yang juga sebagai pemegang taruh utama dalam rantaian bekalan sumber protin utama negara. Inovasi peralatan penangkapan hasil laut berpotensi memberi impak besar dalam meningkatkan hasil tangkapan nelayan khususnya nelayan traditional pesisir pantai.

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata usaha pihaknya membantu komuniti nelayan merupakan penyelidikan yang telah dijalankan selari dengan fokus penubuhan institusi pengajian tinggi itu.

“UMT asalnya ditubuhkan sebagai pusat perikanan lewat 70an dahulu. Pelbagai penemuan baharu yang dilakukan oleh penyelidik UMT telah dipindahkan kepada komuniti nelayan khususnya komuniti nelayan di daerah Besut dan Setiu.

“Menyahut saranan Kementerian Pendidikan Tinggi yang mahukan penyelidikan yang dilakukan harus diterjemah kepada masyarakat, pihak UMT bukan sahaja mengadakan program pemindahan ilmu kepada kumpulan sasar, malah penyelidik perlu memantau dan bersama-sama mereka (nelayan) bagi memastikan setiap inovasi yang dihasilkan memberi impak kepada komuniti terlibat”

Menurutnya, rutin nelayan serta lautan merupakan sebahagian daripada makmal kajian yang dijalankan penyelidik UMT bagi melihat secara dekat serta menjalankan aktiviti pensampelan mengikut analisa data yang tepat.

Sementara itu, pakar peralatan penangkapan ikan, Dr. Mohd Fazrul Hisam Abd Azizi berkata penyelidik perlu memainkan peranan masing-masing dalam menghasilkan inovasi bagi meningkatkan pendapatan kumpulan nelayan.

“Kita telah hasilkan tiga ‘industrial design’ dan satu ‘copyright’ peralatan menangkap ikan termasuk unjam pada tahun lalu melalui penyelidikan dan inovasi melibatkan komuniti nelayan. Kebanyakkan peralatan yang digunakan nelayan sememangnya sudah ada, tetapi ia tidak mempunyai ciri-ciri khas kepada hidupan marin tertentu.

“Inovasi yang penyelidik lakukan melibatkan ciri kesesuaian sesuatu spesis seprti ketam, sotong, udang, ikan serta size tangkapan. Selain itu, gabungan peralatan teknologi terkini seperti scientific ecosounder dan kemahiran tertentu yang dimiliki nelayan memberi nilai tambah kepada ketepatan data yang diperoleh dalam menghasilkan sesebuah inovasi.

Disamping meningkatkan taraf ekonomi nelayan, Dr. Fazrul berkata perlatan yang dihasilkan bukan sahaja mengurangkan tangkapan tidak perlu (bycatch), malah membantu mengekalkan kelestarian ekosistem marin untuk generasi akan datang.

UMT kini dalam proses menghasilkan prototaip bot baharu khas untuk nelayan pesisir yang mempunyai ciri-ciri moden.

Rekaan bot yang masih dalam fasa prototaip itu sebahagian usaha UMT membantu meningkatkan kualiti hidup nelayan pesisir disamping bertindak sebagai usaha pengawalan stok ikan serta meminimumkan kemusnahan alam sekitar akibat penggunaan bahan bakar seperti petrol.

Penggunaan bot nelayan katamaran cekap dan moden itu mampu menarik minat golongan belia untuk menceburi bidang perikanan yang sebelum ini menganggap pekerjaan itu tidak berupaya memberi pulangan tinggi.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu