UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT santuni masyarakat Orang Asli Semaq Beri

UMT santuni masyarakat Orang Asli Semaq Beri

Sunday, 10/09/2023

Share This Article :

Kesedaran pendidikan dan penjagaan kebersihan diri adalah aspek penting dalam pembangunan masyarakat yang seimbang dan berkembang. Cabaran akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan asas bagi komuniti Orang Asli sering diketengahkan dan dibincangkan di pelbagai peringkat khususnya penyelidik. Bagi tujuan itu, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengambil langkah proaktif dalam memainkan peranan menyantuni dan melaksanakan program-program bersifat tanggungjawab sosial korporat khas untuk penambahbaikan kualiti hidup komuniti orang asli.

Menurut Timbalan Pengarah Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari UMT, Profesor Dr. Khatijah Omar, masyarakat asli merupakan kelompok yang masih mempertahankan tradisi dan budaya yang berpusatkan alam semulajadi.

“Orang Asli merupakan masyarakat yang masih mempertahankan tradisi dan budaya asli mereka. Kehidupan mereka berpusat di sekitar alam semula jadi, dengan pengetahuan tentang tumbuhan, perubatan tradisional dan cara hidup yang seimbang dengan alam”

“Walau bagaimanapun, mereka juga menghadapi pelbagai cabaran seperti akses terhadap pendidikan, kesihatan dan keperluan asas lain.

“Dengan membawa misi kemanusiaan, kita wujudkan ‘Jungle School’ dengan kerjasama beberapa pihak berkaitan dalam usaha menarik minat kanak-kanak masyarakat Orang Asli Semaq Beri Kg. Sungai Berua untuk hadir ke sekolah”.

Selain itu, katanya, pihaknya sering berkerjasama dengan agensi-agensi dalam dan luar negara untuk mengadakan program berkaitan pembangunan kendiri kanak-kanak orang asli.

“Kita telah mengadakan beberapa siri program bersifat tanggungjawab sosial. Kali ini kita bawakan tema pendidikan dan kesihatan yang mana kita adakan aktiviti pemeriksaan kesihatan percuma, aktiviti pengenalan asas kepada 3M (Membaca, Menulis, Mengira), aktiviti mewarna serta pengenalan berkaitan penjagaan diri seperti cara gosok gigi dengan betul, penjagaan kebersihan diri dan sebagainya”. Ujarnya ketika ditemui sempena program USR Bersama Komuniti dan pelajar Jungle School Kg. Sungai Berua, Kuala Berang.

Tambahnya, UMT mempunyai kepakaran dan ruang untuk membantu komuniti orang asli agar tidak terus ketinggalan.

“Universiti mempunyai sumber daya akademik dan tenaga pengajar yang dapat berperanan dalam penyelidikan dan pembangunan masyarakat. Dengan adanya jalinan kerjasama dengan masyarakat Orang Asli, universiti dapat membantu dalam menjalankan penyelidikan yang berkaitan dengan isu-isu komuniti, seperti peningkatan pertanian, sistem pendidikan dan penjagaan kesihatan”

“Setelah kita jalankan program pembangunan komuniti orang asli sejak 2015, walaupun tempoh masa yang agak lama, namun perubahan yang signifikan telah kita berjaya lihat pada hari ini. Usaha ini perlu diteruskan untuk hasil yang lebih baik pada masa akan datang”

Dr. Khatijah berkata, UMT berada pada landasan yang tepat dalam melaksanakan tanggungjawab membantu komuniti orang asli untuk mengubah kehidupan ke arah lebih baik.

“Penganjuran program tanggungjawab sosial universiti di perkampungan Orang Asli adalah langkah positif dalam menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi komuniti ini. Universiti mempunyai peranan penting dalam memberi sokongan kepada perkampungan Orang Asli dengan menyediakan sumber daya, penyelidikan, pendidikan dan pemeliharaan budaya. Dengan melakukan perkongsian pengetahuan dan kerjasama yang berterusan, kita boleh membantu perkampungan Orang Asli untuk mencapai kehidupan yang lebih baik dan lebih seimbang dengan alam semula jadi mereka”. Katanya.