UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

TENAGA BOLEH DIPERBAHARUI (RE) BERPOTENSI UBAH LANSKAP SEKTOR PERKAPALAN NEGARA

TENAGA BOLEH DIPERBAHARUI (RE) BERPOTENSI UBAH LANSKAP SEKTOR PERKAPALAN NEGARA

Thursday, 23/09/2021

Share This Article :

Sektor perkapalan merupakan nadi pembangunan ekonomi dunia. Dianggarkan sekitar 80% daripada keseluruhan jumlah perdagangan global adalah melalui pengangkutan laut. Berdasarkan laporan daripada Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD), perkhidmatan pengangkutan maritim telah mengalami kadar pertumbuhan positif dari tahun ke tahun.

 

Namun, sektor perkapalan adalah antara penyumbang utama kepada pencemaran udara terutama di kawasan pelabuhan dan juga pesisir pantai. Bahan api fosil yang digunakan mengandungi kandungan karbon dioksida yang tinggi dan seterusnya menyumbang kepada pemanasan global.

 

International Renewable Energy Agency (IRENA) telah melaporkan kesan aktiviti perkapalan terhadap pelepasan karbon dioksida. Statistik menunjukkan sektor perkapalan menyumbang sebanyak 4% -5% daripada jumlah keseluruhan pelepasan karbon yang dihasilkan oleh aktiviti manusia.

 

Selain itu, sektor ini juga bertanggungjawab untuk 3% pelepasan gas rumah hijau global dan 9% pelepasan global yang berkaitan dengan sektor pengangkutan. Hal ini mencetuskan kebimbangan kerana angka ini dijangka akan mengalami peningkatan seiring dengan perkembangan aktiviti perdagangan dunia.

 

Sekiranya tiada tindakan pencegahan yang diambil, Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) menjangkakan pelepasan karbon dioksida akan meningkat antara 50 hingga 250% pada tahun 2050.

 

Persidangan Antarabangsa untuk Pencegahan Pencemaran dari Kapal (MARPOL) telah menggariskan peraturan-peraturan bagi pencegahan pencemaran udara oleh kapal di bawah Annex VI. Malaysia telah menerima pakai dan melaksanakan Annex VI MARPOL untuk meminimakan pencemaran kepada laut dari kapal dagang sejak tahun 2010.

 

Pelaksanaan MARPOL ini dilakukan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dimana ia telah menetapkan peraturan untuk mengawal had pelepasan nitrogen dioksida (NOx) daripada enjin diesel kapal. Kemudian pada tahun 2013, Annex VI MARPOL telah ditambahbaik melalui suatu peraturan baru yang menggariskan keperluan penggunaan tenaga maritim yang lebih cekap.

 

Peraturan tersebut diaplikasikan kepada kapal-kapal dagang dengan ton kasar 400 atau lebih. Tujuan peraturan ini adalah untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida yang mencemarkan alam sekitar. Sebagai negara anggota IMO, Malaysia sedaya upaya berusaha untuk menangani isu pelepasan karbon dari sektor perkapalan secara serius untuk mengurangkan pencemaran udara serta perubahan iklim.

 

Malaysia juga telah menetapkan sasaran untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 20% menjelang 2020 dan 50% menjelang 2050. Dengan demikian, sektor perkapalan negara memerlukan kepada bekalan sumber tenaga bersih dan mesra alam sekitar. Sumber tenaga boleh diperbaharui (RE) dilihat mempunyai potensi yang besar dalam mengubah landskap sektor perkapalan negara.

 

 

Malaysia merupakan negara bertuah kerana keadaan geografinya yang dikelilingi laut serta corak tiupan angin nya yang besar kesan daripada bayu laut dan bayu darat. Kedudukan Malaysia yang strategik di garisan khatulistiwa juga dapat menyumbang kepada penghasilan tenaga untuk memenuhi permintaan tenaga negara yang semakin meningkat.

 

Jika diamati, lautan dan marin mempunyai sumber RE yang boleh dijadikan alternatif kepada penggunaan bahan bakar seperti tenaga matahari, ombak dan angin. Oleh itu, kerajaan serta pihak berkepentingan perlu mempertimbangkan penggunaan sumber RE tersebut dalam sektor perkapalan. Selain itu, RE merupakan pilihan yang tepat berikutan harga bahan bakar yang tidak stabil di di pasaran seluruh dunia.

 

Selain jaminan tenaga, penggunaan RE juga sebagai usaha kearah transformasi nasional dalam memelihara kelestarian alam sekitar. Pengurangan gas karbon dioksida dalam udara diyakini dapat menghentikan fenomena perubahan iklim dan pemanasan global akibat peningkatan suhu atmosfera bumi secara berterusan.

 

Bagi memenuhi hasrat ini, adalah penting bagi Malaysia untuk mengambil langkah proaktif dalam menghasilkan tenaga dari sumber RE. Langkah ini bagi memenuhi permintaan terhadap penggunaan tenaga dalam jangka panjang seterusnya mencapai matlamat sifar karbon.

 

Justeru, perkara utama yang perlu ditekankan adalah perancangan strategik dalam pembangunan RE yang akan membawa kepada masa depan yang lebih cerah kepada sektor perkapalan. Pelaburan bagi penghasilan tenaga seperti kuasa ombak dan angin amat penting bagi meningkatkan produktiviti dan penghasilan tenaga di laut.

 

Peralihan kepada RE juga adalah sebagai langkah Malaysia mencapai sasaran Matlamat Pembangunan Mampannya (SDG) ke-7 iaitu untuk memastikan semua pihak mempunyai akses kepada sumber tenaga yang moden, mampan, mampu diperolehi dan boleh digunakan sepenuhnya. Langkah perlu diambil untuk menaik taraf teknologi sedia ada dan mewujudkan infrastrutur untuk menyediakan sumber tenaga yang bersih dan lebih cekap bagi mencapai SDG ke-7 menjelang tahun 2030.

 

Dengan adanya RE, sekurang-kurangnya sektor perkapalan tidak bergantung penuh kepada sumber bahan api fosil kerana ianya merupakan sumber yang tidak boleh dibaharui. Hal ini secara tidak langsung dapat menjamin kedudukan Malaysia sebagai satu hub perkapalan dalam rantaian bekalan global.

 

Dr. Izyan Munirah Mohd Zaideen

Pensyarah Kanan

Fakulti Pengajian Maritim

Universiti Malaysia Terengganu.

 

 

Dikeluarkan oleh : 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu