UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

MoU UMT & WWF-Malaysia Tanda Pengukuhan Kerjasama Usaha Konservasi Biodiversiti & Pembangunan Mapan

MoU UMT & WWF-Malaysia Tanda Pengukuhan Kerjasama Usaha Konservasi Biodiversiti & Pembangunan Mapan

Tuesday, 09/01/2018

Share This Article :

Kuala Nerus – Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan World Wide Fund for Nature (WWF) – Malaysia ini menyaksikan pengukuhan kerjasama yang lebih utuh bagi kelangsungan usaha-usaha konservasi biodiversiti dan pembangunan mapan khususnya di Tanah Bencah Setiu, Setiu, Terengganu.


Ujar Pengarah Eksekutif dan CEO WWF Malaysia, Dato’ Dr Dionysius Sharma ketika ditemui, “MoU akan mengukuhkan lagi jaringan kerjasama sedia ada di antara UMT dan WWF-Malaysia untuk jangka masa yang panjang. Memfokuskan Tanah Bencah Setiu yang mempunyai nilai konservasi dan kekayaan diversiti yang tinggi, gerak kerja penyelidikan yang bakal dijalankan akan memberi sumbangan data yang mampu dijadikan bukti dan faktor kukuh untuk melindungi khazanah alam di Terengganu ini.


Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Hj. Mokhtar berkata, “gerak kerja yang bakal dijalankan akan melibatkan penyelidik dari UMT serta WWF-Malaysia dan hasil dapatan akan memainkan peranan penting dalam menyokong usaha sedia ada dari pelbagai pihak; baik dari komuniti setempat mahupun pihak lain-lain.


MoU ini mengukuhkan lagi persefahaman yang terjalin berkaitan penyelidikan, program kesedaran dan gerak kerja konservasi di Tanah Bencah Setiu dan bakal membuka lebih banyak peluang kerjasama dengan pihak-pihak lain.


Turut dilancarkan pada majlis yang sama adalah buku Prosiding Seminar Saintifik Ekspedisi Tanah Bencah Setiu 2016 yang disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu, Tuan Haji Rosman bin Roslan yang memuatkan hasil kajian pelbagai habitat semula jadi flora dan fauna yang merangkumi rangkaian Sungai Setiu, Guntung, Chalok, Bari, dan Merang.


Mewakili UMT dalam menandatangani MoU ini adalah Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Hj. Mokhtar dan disaksikan oleh Pengarah Institut Penyelidikan Kenyir (IPK) UMT, Prof. Dato’ Dr. Mohd Tajuddin Abdullah manakala dari WWF-Malaysia adalah Dato’ Dr. Dionysius Sharma dan disaksikan oleh Ketua Konservasi Semenanjung Malaysia, WWF-Malaysia, Norizan Mohd. Mazlan.


Dikeluarkan oleh:
Pusat Komunikasi Korporat (PKK)
Universiti Malaysia Terengganu
Tel: 09 – 668 5086/ 4278