UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

DAGING PENYU PUNCA PENYAKIT KRONIK, SEBABKAN KEMATIAN

DAGING PENYU PUNCA PENYAKIT KRONIK, SEBABKAN KEMATIAN

Thursday, 03/09/2020

Share This Article :

Bukan sahaja telur yang diburu, malah daging penyu juga menjadi rebutan penggemar makanan eksotik dari dalam dan luar Negara. Permintaan itu turut menjadikan Negara ini sebagai lokasi mudah untuk mendapatkan spesies yang terancam itu dan natijahnya, mungkin generasi kemudian tidak mampu melihat lagi penyu secara dekat jika masyarakat masih menyokong aktiviti penjualan penyu.

 

Penyelidik UMT, Dr. Muhammad Hafiz Borkhanuddin berkata amalan pemakanan berkaitan daging penyu perlu dihentikan.

 

“Penyu merupakan haiwan yang mempunyai kandungan logam berat yang tinggi. Kadar logam berat yang diukur dalam tisu penyu melebihi standard keselamatan makanan antarabangsa dan boleh mengakibatkan kesan toksik termasuk penyakit ginjal, barah hati dan kesan perkembangan pada janin dan kanak-kanak”.

 

Selain itu, daging penyu juga mempunyai bakteria, parasit, biotoksin, dan tempat pengumpulan bakteria yang terhasil daripada pencemaran alam sekitar.

 

Menurutnya, dari perspektif parasitologi, terdapat banyak laporan yang merekodkan kehadiran telur dan cacing parasit pada penyu seperti cacing trematoda. Parasit-trematoda dewasa dijumpai terutamanya di jantung, manakala telur trematoda boleh dijumpai di pelbagai organ termasuk otak, jantung, hati, paru-paru, limpa, ginjal, kulit, perut dan usus.

 

“Sebagai contoh, kajian yang dijalankan ke atas penduduk orang Asli di Australia telah menjumpai telur cacing ini di dalam najis kanak-kanak masyarakat tersebut. Ini sekaligus menunjukkan risiko jangkitan akibat pemakanan daging penyu memang berlaku, seterusnya memberi indikasi bahawa cacing dewasa mampu membiak di dalam badan kanak-kanak terbabit.”

 

Seacara amnya, kesan kesihatan yang dilaporkan dari memakan penyu laut atau telurnya yang dijangkiti pathogen zoonotik termasuklah cirit-birit, muntah, dan dehidrasi yang melampau, yang boleh mendatangkan kematian.

 

“Asasnya, pengambilan telur dan daging penyu jelas mendatangkan kesan negative terhadap kesihatan manusia. Terdapat juga saranan dimana wanita dan kanak-kanak khususnya mengalami kesan yang lebih teruk berbanding lelaki. Oleh yang demikian, aktiviti pengambilan daging dan telur penyu hendaklah dihentikan bagi mengurangkan kesan kesihatan kepada manusia, disamping keperluan untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat umum mengenai perkara ini.” Katanya.

 

Selain itu, bagi mereka yang beragama islam, larangan memakan daging penyu telah dikeluarkan oleh pejabat mufti wilayah persekutuan (AL-KAFI 853: HUKUM MEMAKAN MAKANAN LAUT DAN PENYU) kerana haiwan itu merupakan kumpulan haiwan dua alam sepertimana katak, buaya dan lain-lain.

 

Untuk keterangan lanjut :

Dr. Muhammad Hafiz Borkhanuddin

Pensyarah Biologi Marin

Fakulti Sains dan Sekitaran Marin

Universiti Malaysia Terengganu

Tel : 011-23124561

 

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komuniksai Korporat

Universiti Malaysia Terengganu