Kuala Nerus- Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT telah mengadakan program Scholar Talk yang bertajuk Falsafah Kesenian Islam Dalam Ukiran Kayu. Program anjuran PISM ini menjadi medan bagi mengetengahkan pelbagai tokoh yang berkepakaran dalam pelbagai sudut bidang ilmu.

 

Program Scholar Talk dimeriahkan dengan kehadiran jemputan seniman Tuan Adiguru Norhaiza Noordin yang merupakan pengukir kayu terkenal kelahiran Besut, Terengganu. Scholar Talk ini bertujuan mendedahkan kepada masyarakat akan ketinggian seni budaya Islam terutama pada warisan ukiran kayu.

 

Program ini juga adalah sebahagian daripada keperluan pengajaran Bicara Industri dalam kuliah yang memberi pencerahan kepada pelajar kemahiran insaniah pada aspek kesenian yang boleh dikembangkan sebagai peluang kerjaya dan perniagaan.

 

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT, Prof. Madya Ts. Dr. Che Mohd Ruzaidi Ghazali dalam ucapannya berkata Road tour pameran Menelusuri Karya Norhaiza Noordin telah bermula di Balai Seni Lukis Negara di Kuala Lumpur, Universiti Sains Malaysia (USM), Muzium Negeri Terengganu dan terakhir di Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT.

 

“Warga UMT dan komuniti kejiranan UMT sangat bertuah dapat bertemu dan mendengar sendiri mutiara kata dari seorang seniman yang telah dinobatkan dengan gelaran Adiguru atas sumbangan dalam bidang kebudayaan dan kesenian serta bakat luar biasa yang dimiliki.  

 

“Peluang ini memberi ruang kepada komuniti UMT untuk mendekati, menghayati serta menimba ilmu dan pengalaman yang akan dikongsi oleh Adiguru Kebangsaan yang berasal dari bumi Terengganu ini yang diiktiraf karyanya dalam dan luar negara.” Tambahnya dalam majlis perasmian program Scholar Talk yang berlangsung pada 27 April lalu di PISM, UMT.

 

Turut memeriahkan program ini dengan kehadiran para belia warga pelajar, warga kampus dan juga komuniti kejiranan UMT. Pameran hasil karya Adiguru Norhaiza Noordin turut dipamerkan di dewan PISM untuk tontonan peserta.

 

Program ini secara tidak langsung membuktikan Masjid bukan sahaja sebagai pusat dakwah dan tarbiah malahan turut bergerak sebagai pusat kegiatan dan pemindahan ilmu kepada generasi muda.

 

 

Dikeluarkan oleh:

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

09-6684418/4261