KUALA TERENGGANU – Tropical Ocean and Marine Sciences International Symposium TOMSY2018 merupakan simposium anjuran Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama First Institute of Oceanography (FIO), China.

Sejajar dengan peranan UMT sebagai ‘Universiti Berfokus Ilmu Kelautan dan Sumber Akuatik’, peranan yang dimainkan oleh UMT semakin penting dalam bidang penyelidikan dan pendidikan berkaitan dengan kelautan dan sains marin.

Prof. Madya Dr. Suhaimi Suratman berkata, simposium ini bertujuan untuk mengumpulkan saintis terkemuka, penyelidik dan sarjana penyelidikan untuk bertukar fikiran dan berkongsi pengalaman mereka dan hasil penyelidikan mengenai semua aspek tersebut terutamanya kajian yang dilakukan di kawasan tropika.

“Lautan yang mewakili persekitaran marin merangkumi dua pertiga daripada muka bumi. Namun, pengetahuan mengenainya masih banyak lagi yang belum diterokai. Kawasan lautan mempunyai banyak sumber semulajadi dan membekalkan makanan, sumber tenaga serta mineral.

“Iklim dan cuaca dunia juga sangat dipengaruhi oleh peredaran arus lautan. Walau bagaimanapun, masa depan laut dan sumber marin kini sedang mengalami ancaman seperti pencemaran, penurunan pH disebabkan keasidan air laut, pelunturan terumbu karang dan lain-lain. Hal ini seterusnya akan mengganggu rantai makanan, ekosistem dan akhirnya kepada komuniti manusia. Sejajar dengan tema “Menerokai Lautan Untuk Kelestarian Masa Depan” simposium ini diharap dapat melihat kembali aktiviti dan proses yang menyumbang kepada ancaman tersebut untuk memastikan kelestarian sumber daripada lautan, serta mencari kaedah terbaik untuk pengurusan secara mapan.  

Simposium yang berlangsung selama dua hari yang dihadiri seramai 110 orang peserta dari dalam dan luar Negara seperti China, Indonesia dan Vietnam.

Sebanyak 110 kertas kerja dibentangkan dalam bentuk pembentangan lisan dan poster. Kertas kerja yang dibentangkan merangkumi bidang Oseanografi kimia, fizik, geologi, biologi, satelit dan governan.

Tambah Suhaimi, pameran peralatan saintifik juga turut diadakan bagi memberi pendedahan kepada peserta mengenai alat-alat saintifik terkini yang berada dalam pasaran yang mungkin boleh digunakan bagi memantapkan lagi penyelidikan dan pengajaran di Malaysia amnya.

Turut diadakan majlis menadatangani MoU antara UMT dengan National Marine Data and Information Service (NMDIS), China bagi mewujudkan kerjasama penyelidikan dan teknikal dalam ‘Platform Pangkalan Data Besar Marin’ (Marine Big Data Platform).

semasa majlis perasmian tersebut.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar dalam ucapannya menegaskan semua penyelidik perlu menyebarluaskan ilmu-ilmu serta penemuan baharu kepada masyarakat umum supaya dapat melahirkan generasi yang peka terhadap isu-isu pencemaran dan pemuliharaan laut.

“Simposium ini mampu menyediakan kaedah penyelesaian berkaitan krisis kelautan dan sains marin terutamanya di rantau ini untuk makluman dan tindakan oleh pihak-pihak berkepentingan di samping itu membuka ruang kerjasama kepada para penyelidik untuk kolaborasi saintifik rentas sempadan dalam usaha mempertingkatkan penyelidikan dalam bidang kelautan dan sains marin untuk kelestarian negara dan dunia di masa depan”.

 

Untuk keterangan lanjut :

 

Prof. Madya Dr. Suhaimi bin Suratman

Timbalan Penmgarah (Akademik dan Bakat)

Institut Oseanografi dan Sekitaran

Universiti Malaysia Terengganu

21030 Kuala Terengganu

Tel: +6-09-668 3627
Emel : miman@umt.edu.my 

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu