UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Kerjasama UMT-Industri lahir tenaga profesional negara

Kerjasama UMT-Industri lahir tenaga profesional negara

Sunday, 17/12/2023

Share This Article :

Sejumlah 130 pemain industri diraikan dalam satu majlis penghargaan bagi menyokong peranan dan sumbangan pihak itu kepada pembangunan dan pencapaian universiti.

Majlis Penghargaan Rakan Industri 2023 (MPRI’23) yang diadakan setiap dua tahun itu merupakan pentas tertinggi anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam mengukuhkan lagi jalinan kerjasama antara pemain industri dan UMT.

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, majlis itu bagi meraikan semua yang terlibat dalam memperkasakan agenda universiti termasuk ahli akdemia.

“MPRI’23 UMT bertujuan menghargai dan mengiktiraf pemain industri yang telah banyak membantu UMT dalam menjayakan inisiatif universiti bagi pemerkasaan bakat, pembangunan pelajar, kecemerlangan pembelajaran dan pengajaran serta keunggulan penyelidikan & inovasi.

“Tidak dilupakan, penglibatan para akademia UMT yang memperhebat rangkaian kerjasama dengan pihak industri turut diraikan dalam majlis dalam majlis ini.

Menurutnya, UMT sememangnya telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memastikan ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Penglibatan pihak industri dalam institusi pengajian tinggi amatlah dialu-alukan dalam usaha melonjakkan manfaat, kepakaran dan pengalaman agar dapat mencapai semua aspek khususnya peningkatan peratusan siswazah yang memperoleh gaji premium.

Katanya, kerjasama yang bersifat strategik mempunyai sasaran untuk memperkemas operasi serta teknologi merupakan keutamaan pihak universiti yang mampu memberikan manfaat dan pulangan jangka panjang kepada semua pihak dan negara.

“UMT mengangkat tema “Keserakanan Universiti-Industri Memacu Kecemerlangan Modal Insan” kerana kita sedar bahawa tanggungjawab sesebuah universiti amatlah penting bagi membantu negara menghasilkan modal insan yang unggul, berpengetahuan luas dan berkemahiran tinggi.

Tambahnya, lima inisiatif pemerkasaan pelajar telah dilaksanakan sebagai nilai tambah kepada pembangunan mahasiswa iaitu Program Penjana KPT-CAP “Smart Logistician”, Program Work Based Learning (WBL), Program Integrated PhD (IPhD), Pelantikan Malim Industri, Program CEO@Faculty.

Untuk rekod, UMT telah melaksanakan sebanyak 95 projek dengan kerjasama rakan industri melalui geran penyelidikan industri melibatkan peruntukan berjumlah RM7,580,259.98.

Dalam majlis itu, beberapa kategori anugerah turut disampaikan seperti Anugerah Projek Industri, Anugerah Akademi-Industri, Anugerah Rakan Industri dan Penghargaan CEO@Faculty.

Turut menerima penghargaan dalam majlis itu bagi kategori CEO@Faculty iaitu Datuk Idham Nawawi (CELCOMDIGI BERHAD), Laksamana Pertama (B) Dato’ Ir. (Dr.) Ahmad Murad Omar (OMAHAMS CORPORATION), Marco Neelsen (PELABUHAN TANJUNG PELEPAS SDN BHD), Wan Nadhri Wan Fauzi (BLUE ARCHIPELAGO BERHAD) dan Datuk Seri Saripuddin Kassim (Mantan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan).

Bagi menerapkan nilai keusahawanan dalam diri pelajar, Prof. Dr. Mazlan turut melancarkan program Siswa Mall sebagai tanda sokongan dan galakan university itu kepada mahasiswa yang menjalankan perniagaan menerusi platform eDagang.

“Siswa Mall merupakan program kerjasama antara UMT dan CelcomDigi Berhad untuk melatih pelajar memperluaskan pasaran perniagaan melalui platform e-dagang seperti Shopee, Lazada, Ebay dan Etsy”.

Katanya, pelaksanaan itu selaras dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan usahawan pelajar yang memiliki ciri-ciri usahawan digital yang kompetitif dan berjaya seterusnya menyumbang kepada daya tahan ekonomi negara.

-TAMAT-

 

MAKLUMAT TAMBAHAN :

a) Program Penjana KPT-CAP “Smart Logistician” dengan kerjasama PKT Logistics Group Sdn. Bhd. untuk menyediakan peluang latihan industri kepada pelajar UMT, seterusnya membuka ruang pekerjaan;

b) Program Work Based Learning (WBL) di mana UMT telah menyediakan modul dan keperluan akademik melibatkan program pengajian di UMT dengan kerjasama pelbagai pihak antaranya Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd, Konsortium Pelabuhan Kuantan, Salihin, MHNEXUS Sdn Bhd, Uniti Office Sdn Bhd dan lain-lain industri yang berkaitan; serta

c) Program Integrated PhD (IPhD) yang menawarkan kepada pemain industri dalam bidang maritim untuk meneruskan pengajian secara komprehensif di peringkat Sarjana dan PhD bagi meningkatkan keupayaan dan kepakaran tenaga kerja industri melalui penyelidikan yang dijayakan di universiti.

d) Pelantikan Malim Industri yang dilantik daripada pelbagai sektor dan merentasi pelbagai bidang ilmu untuk membantu universiti meningkatkan kualiti di samping menentukan kerelevanan kursus dan program pengajian yang ditawarkan serta aktiviti berbentuk akademik dan khidmat komuniti.

e) Program CEO@Faculty 1.0 yang menumpukan kepada perkongsian pengalaman dan kepakaran tokoh-tokoh dari industri serta agensi awam seperti CelomDigi Berhad, Omahams Corporation Sdn Bhd, Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn. Bhd., Blue Archipelago Berhad dan KSU Kementerian Pengangkutan.

Manakala program CEO@Faculty 2.0 menyasarkan golongan akademik dan sokongan akademik untuk ditindik di industri selama 6 bulan. Objektif utama program ini adalah untuk menyediakan platform pendedahan pengoperasian sesebuah industri kepada universiti.

Selain memperoleh pengalaman dan pengetahuan secara bimbingan peribadi daripada CEO, pegawai yang terlibat juga berperanan secara inklusif dan komprehensif di dalam memacu jalinan kolaborasi industri dan universiti yang berimpak tinggi.

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu