UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT cipta katamaran moden bantu nelayan tingkat tangkapan

UMT cipta katamaran moden bantu nelayan tingkat tangkapan

Monday, 20/12/2021

Share This Article :

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam usaha menghasilkan reka bentuk bot baharu yang mempunyai ciri-ciri moden.

Rekaan bot yang masih dalam fasa prototaip itu sebahagian usaha UMT membantu golongan berpendapatan rendah yang menjadikan laut sebagai sumber pendapatan disamping bertindak sebagai usaha pengawalan stok ikan serta meminimumkan kemusnahan alam sekitar akibat penggunaan bahan bakar seperti petrol.

Naib Canselor UMT, Prof. dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata pihaknya mempunyai kepakaran dalam reka bentuk bot dan kapal serta arif dalam bidang perikanan.

“Pihak UMT akan bergabung kepakaran untuk menghasilkan prototaip bot nelayan baharu moden dan sekiranya berjaya, akan dikomersilkan dalam merealisasikan hasrat kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada hasil laut yang diimport, sedangkan negara kita mempunyai mempunyai potensi serta pelbagai sumber lautan”. Ujar beliau semasa majlis menandatangani dokumen perjanjian (MOA) antara UMT dan MSET Inflatable Composit Corporation Sdn Bhd.

“Penggunaan bot nelayan katamaran yang direka bentuk dengan sangat cekap, boleh memberikan impak yang lebih tinggi kepada pembangunan sosio-ekonomi nelayan seperti meningkatkan pendapatan, meningkatkan pekerjaan untuk nelayan artisan khususnya untuk generasi belia, serta nilai tambah dalam mempromosikan perikanan tradisional kepada penangkapan ikan yang mampan dengan kecekapan tinggi”.

“Kemampanan jangka panjang perikanan marin adalah isu paling penting yang diperlukan untuk ditangani dalam pengurusan perikanan dan juga pembangunan sosio-ekonomi nelayan dan komuniti nelayan”.

Reka bentuk bot itu juga menjadikan UMT sebagai Universiti Awam pantai timur pertama di Malaysia dalam pembangunan prototaip bot nelayan baharu moden.

Projek penghasilan prototaip itu mendapat sokongan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui geran Strategic Research Fund berjumlah RM3.1 juta bagi projek Transforming Coastal Fisheries Through Model Prototype Design and Development of an Innovative Fishing Vessel yang diketuai oleh Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar, Felo Penyelidik Utama Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) UMT.

Sementara itu, Dr.Mohd Fazrul Hisam Abd Aziz, Pensyarah Fakulti Perikanan dan Sains Makanan (FPSM) berkata prototaip itu dilengkapi dengan peralatan penangkapan ikan (fishing gear) yang moden dan hanya ikan yang matang akan ditangkap.

“Prototaip ini dijangka dapat meningkatkan hasil tangkapan dengan menangkapo ikan yang bersaiz matang dan berkualiti. Bot ini juga mampu berada dilautan dalam tempoh lama berbanding bot yang digunakan sekarang serta memerlukan kos baik pulih yang rendah.

“Peralatan menangkap ikan pada bot ini juga mampu mengurangkan tangkapan sampingan dan secara tidak langsung ia memberi impak amat baik kepada kelestarian sumber perikanan negara pada masa akan datang.

Tambah Dr. Fazrul, bot itu juga boleh digunakan untuk aktiviti perikanan rekreasi yang semakin popular sejak kebelakangan ini.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu