UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Advokasi anti gangguan seksual lahir masyarakat sejahtera

Advokasi anti gangguan seksual lahir masyarakat sejahtera

Tuesday, 16/1/2024

Share This Article :

Pusat Kaunseling dan Kesejahteraan Mahasiswa melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Ibu Pejabat Kontinjen Polis Negeri Terengganu (IPK) berjaya menganjurkan program Seminar Kasih Kaunseling @ Advokasi Antigangguan Seksual sebagai suatu inisiatif untuk memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan isu gangguan seksual.

Program itu merupakan program di bawah Kanvas Siswa Madani melibatkan kira-kira 300 peserta yang merangkumi mahasiswa UMT, komuniti sekitar Kuala Nerus, Kaunselor Berdaftar dan Pegawai Psikologi Universiti Awam. Penganjuran itu memfokuskan kepada aspek kesejahteraan dalam membina insan madani bagi melahirkan masyarakat madani seiring dengan konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar dalam ucapan perasmiannya berkata penganjuran Program Seminar Kasih Kaunseling @ Advokasi Antigangguan Seksual itu sebagai langkah membentuk kesedaran mahasiswa UMT dan masyarakat berkaitan perihal jenayah gangguan seksual serta hak perlindungan agar dapat mewujudkan suasana persekitaran yang harmoni dan sejahtera.

“Saya yakin dan percaya, usaha kecil kita pada hari ini akan membuahkan hasil yang besar suatu hari nanti. Agar kita sama-sama dapat membentuk persekitaran yang sejahtera dan bebas daripada gangguan seksual”.

Mengulas lanjut, Dr. Mazlan berkata pihaknya memandang serius berkenaan isu itu dan sedang membangunkan modul kesejahteraan khusus untuk mahasiswa.

“UMT melalui HEPA memandang serius isu-isu pelajar yang boleh menyumbang kepada ketidaksejahteraan atau mengganggu keselesaan mereka sepanjang keberadaan di UMT.

“Hasil daripada pembangunan Indeks Kesejahteraan Pelajar ini, UMT akan memperkenalkan modul-modul kesejahteraan yang boleh membantu meningkatkan kesihatan mental pelajar di UMT khususnya.

Katanya, isu gangguan seksual juga antara elemen penting dalam pembangunan modul tersebut selain memfokuskan kesedaran pelajar tentang isu-isu kehidupan yang boleh mempengaruhi ketahanan diri (self-resilient), meningkatkan penghargaan kendiri (self-esteem) dalam melahirkan pelajar yang berdaya tahan dan sejahtera dari sudut fizikal, mental dan emosi.

Program yang mendapat kerjasama daripada Kor Sukarelawan Polis Siswa/siswi (KorSUKSIS) UMT, Kelab Pembimbing Rakan Siswa UMT dan Kelab Pengurusan Kaunseling UMT itu turut mendapat perhatian daripada Ketua Polis Negeri Terengganu, YBhg. YDH DCP Datuk Mazli Mazlan selaku perasmi program.

Antara perkongsian yang menjadi fokus utama dalam program Seminar Kasih Kaunseling @ Advokasi Antigangguan Seksual ini adalah kefahaman mengenai definisi gangguan seksual yang sebenar, kesan-kesan gangguan seksual terhadap mangsa dan pemangsa, aplikasi teori kaunseling dalam membantu isu gangguan seksual, peranan dan tanggungjawab diri sendiri dalam menjauhkan diri daripada menjadi mangsa gangguan seksual, aplikasi terapi seni dalam menangani kes gangguan seksual, kategori gangguan seksual di pejabat dan tempat belajar serta Townhall Discussion Jenayah Gangguan Seksual.

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu