UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

JMU 2023 ZON TIMUR SINERGI BERKESAN TARIK MINAT PELAJAR KE IPT

From Google

JMU 2023 ZON TIMUR SINERGI BERKESAN TARIK MINAT PELAJAR KE IPT

Sunday, 04/06/2023

Share This Article :

Kuala Nerus, 3 Jun – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) buat julung kalinya dipilih sebagai rakan strategik penganjuran Program Jom Masuk U 2023 (JMU 2023) bagi Zon 5, Timur yang berlangsung hari ini dan esok di Dewan Sultan Mizan, UMT. 
 
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff dalam ucapan pelancarannya berkata, objektif utama pelaksanaan program itu adalah untuk mempromosikan serta menyebar luas peluang pendidikan tinggi ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).
 
Tambahnya usaha yang dilakukan oleh KPT melalui program JMU 2023 telah memperluaskan akses dan ekuiti pelajar-pelajar lepasan SPM, STPM dan Diploma, malah pelajar Ijazah Sarjana Muda serta sarjana untuk ke peringkat lebih tinggi.
 
“Program JMU merupakan signature Program tahunan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). KPT melalui Bahagian Kemasukan Pelajar IPT, Jabatan Pendidikan Tinggi (BKPA, JPT) menganjurkan Program Jom Masuk U 2023 di enam zon bermula 20 Mei 2023 sehingga 4 Jun 2023”. 
 
Sementara itu, Naib Canselor UMT, Profesor Dato’ Dr. Mazlan Abdul Ghaffar berkata program yang merupakan acara tahunan KPT itu membantu pihak universiti khususnya UMT, mendekati calon-calon mahasiswa dengan menawarkan kursus dan pembelajaran yang bersesuaian dengan kehendak dan aliran pengajian mereka. Ianya selaras dengan aspirasi KPT melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia – Pendidikan Tinggi (2015 – 2025), di bawah Lonjakan 10: Transformasi Penyampaian Pendidikan Tinggi. 
 
Untuk rekod, progam JMU 2023 disertai oleh 20 Universiti Awam (UA), Jabatan Pendidikan Politeknik Dan Kolej Komuniti (JPPKK), empat Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) serta penglibatan hampir 30 Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) yang terpilih, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Malaysian Athlete Career And Education (MACE), agensi-agensi dibawah JPT seperti Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA) selaku urusetia induk atau lebih dikenali sebagai UPU, Bahagian Governan Swasta (BGS), Bahagian Education Malaysia (BEM), Bahagian Penguatkuasaan Inspektorat (BPI) serta  agensi-agensi di bawah KPT seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Bahagian Biasiswa KPT dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).  
 
Terdapat sebanyak 498 buah program pengajian ditawarkan kepada Lepasan SPM dan 1,096 buah program pengajian ditawarkan kepada Lepasan STPM/Setaraf oleh Universiti Awam, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA di seluruh negara.  
 
“UMT sendiri mempunyai satu Pusat Asasi dan lima Fakulti dan yang menawarkan satu program Diploma dan satu program Asasi, 32 program Ijazah Sarjana Muda, 18 program Sarjana dan Kedoktoran (Penyelidikan) serta 11 Program Sarjana dan Kedoktoran (Kerja Kursus).
 
“Bersandarkan VISI UMT, iaitu universiti berfokus marin terunggul dalam negara dan disegani di peringkat global, UMT merupakan antara universiti di Malaysia yang menawarkan pengajian dalam bidang marin dengan menyediakan stesen-stesen penyelidikan alami kepada mahasiswa UMT antaranya Stesen Penyelidikan Alami Pulau Bidong, Bukit Kor, Chagar Hutang di Pulau Redang, Setiu Wetlands dan Tasik Kenyir. 
 
“Malah, UMT merupakan satu-satunya universiti yang memiliki kapal bagi tujuan penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran yang dikenali sebagai Research Vessel Discovery atau RV-Discovery yang direkabentuk khusus bagi tujuan penyelidikan oseanografi dan sains marin”.
 
Ujar Mazlan lagi, pengunjung yang hadir pada program Jom Masuk U 2023 – Zon Timur hari ini perlu mengambil peluang sebaiknya meneroka pengajian dan peluang yang ada di semua universiti yang terlibat selaku pempamer hari ini dengan memastikan pemilihan dibuat adalah bertepatan dan bersesuaian dengan pengajian masing-masing. 
 
“Penganjuran ini membentuk satu sinergi yang berkesan dalam mengoptimumkan kos, selain memberi impak yang tinggi kepada universiti terlibat dan pihak komuniti setempat, terutamanya pelajar yang berhasrat menyambung pelajaran mereka ke tahap yang lebih tinggi.  
 
JMU 2023 sebagai medium interaksi yang informal dan bersifat santai dengan membolehkan pelajar, ibu bapa, pendidik, kaunselor dan masyarakat umum untuk mendapatkan maklumat berkenaan peluang pengajian dan pembiayaan yang ditawarkan oleh IPTA, ILKA, IPTS dan agensi pembiaya secara langsung di bawah satu bumbung.
 
JMU 2023 akan melabuhkan tirainya di Zon Tengah pada 4 hingga 5 Jun 2023 oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.
 
 
Dikeluarkan oleh:
 
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu