KUALA NERUS – Kira-kira 1000 pelajar asasi dan kolej matrikulasi seluruh negara menyertai Kejohanan Sukan Inter Asasi  Universiti Awam Tahun 2019 yang julung kali dianjurkan Pusat Asasi STEM Universiti Malaysia Terengganu (UMT) selaku tuan rumah kejohanan.

 

Penganjuran tersebut diperkenalkan sebagai satu wadah jaringan  kerjasama antara Pusat Asasi UA seluruh negara dan kolej matrikulasi untuk melahirkan pelajar yang mempunyai pencapaian akademik dan kokurikulum seimbang selain bertindak sebagai medan mencungkil dan mengetengahkan bakat kesukanan dalam kalangan pelajar asasi dan matrikulasi. 

 

Menurut Prof. Ts. Dr. Che Mohd Ruzaidi Ghazali, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT bagi mewakili Naib Canselor UMT, penganjuran kejohanan itu dapat mengeratkan lagi hubungan antara rakan-rakan universiti.

 

“Selain mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar elit, dengan penganjuran sukan ini juga mampu mengeratkan hubungan silaturahim yang terjalin antara universiti-universiti awam”.

 

Kejohanan tersebut menyaksikan lebih 10 kategori sukan yang dipertandingkan seperti bola sepak, catur, boling padang, futsal, memanah dan lain-lain.

 

Majlis perasmian pembukaan kejohanan yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan UMT telah disempurnakan oleh Prof. Dr. Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Malaysia.

 

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar mengalu-alukan kedatangan semua kontingen yang menyertai kejohanan dan berharap agar kejohanan ini berjalan dengan lancar melalui persaingan secara sihat.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu