UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT didik masyarakat berkaitan belangkas sempena Sambutan Hari Belangkas Sedunia

UMT didik masyarakat berkaitan belangkas sempena Sambutan Hari Belangkas Sedunia

Sunday, 18/06/2023

Share This Article :

Umumnya, belangkas merupakan haiwan prasejarah atau dikenali sebagai haiwan fosil yang telah wujud sejak 200 juta tahun dahulu dan masih kekal hidup membiak sehingga ke hari ini. Belangkas hanya mempunyai empat spesis di dunia iaitu Limulus Polyphemus (L.p) Tachypleus Tridentatus (T.t), Tachypleus Gigas (T.g), dan Carcinorcorpius Rotundicauda (C.r). Malaysia sangat bertuah kerana memiliki tiga daripada empat spesis belangkas di dunia iaitu T.t, T.g dan C.r. dan dua daripada 3 spesis belangkas  ini (T.g dan C.r) terdapat di perairan Kemaman, Terengganu khususnya di Kuala Kemaman. Manakala L.p pula hanya terdapat di Amerika Utara.

Pelbagai inisiatif telah dilakukan oleh sekumpulan penyelidik belangkas daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam usaha melindungi haiwan purba yang diancam kepupusan itu, namun ia perlu dilakukan pada skala besar dan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.

Bersempena dengan sambutan Hari Belangkas Sedunia yang telah ditetapkan pada 20 Jun setiap tahun, UMT mengambil inisiatif menganjurkan      program “Jom Lepas Anok Belangkas”.

Menurut Ketua Projek, Prof. Dr. Noraznawati Ismail, penganjuran itu merupakan salah satu aktiviti dalam Projek Translasional Belangkas UMT 2021/2022 yang akan memenuhi carta perbatuan ke-3 (M3- Peneluran, penetasan dan pelepasan belangkas juvenil) dan carta perbatuan ke-4 (M4- Melahirkan 10 jurupandu belangkas bermodul dikalangan komuniti setempat untuk produk CBT belangkas di Kemaman).

“Kita berjaya lepaskan sejumlah 1,469 benih belangkas di perairan Kemaman, Terengganu sebagai langkah memastikan hidupan itu terus wujud dan kekal lestari.

“Program ini dijadikan acara tahunan dalam melestarikan populasi belangkas khususnya di Kemaman. Tambahan pula, program ini dijadikan aktiviti tahunan bagi menyokong sambutan Hari Belangkas Sedunia yang telah ditetapkan pada 20 Jun setiap tahun oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN) yang dianggotai oleh beberapa buah negara seperti Malaysia, Jepun, Amerika Syarikat, Indonesia, India dan lain-lain. 

“Fokus kita juga untuk melahirkan jurupandu belangkas bermodul dan bagi tujuan itu, kita telah libatkan komuniti dan pelajar sekolah untuk diberi pendedahan khusus berkaitan haiwan ini dan usaha ini bagi memastikan populasi haiwan fosil yang unik ini semakin bertambah dan kekal wujud di perairan Kemaman khususnya dan Malaysia amnya.

Program itu turut mendapat perhatian kira0kira 150 sukarelawan yang terdiri daripada gabungan persatuan dan NGO seperti Pejabat Pendidikan Kemaman, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Persatuan Pemandu Pelancong Terengganu, Geng Plastik Ija (GPI) Kerteh Kemaman dan lain-lain.

Tambah Dr. Noraznawati, program itu juga disifatkan sebagai titik permulaan bagi aktiviti tarikan pelancong dalam kalendar pelancongan negeri Terengganu melalui usahasama kerajaan negeri Terengganu dalam memperkenalkan belangkas sebagai produk baharu Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) daerah Kemaman dan seterusnya menjadikan Hatcheri Belangkas UMT Kuala Kemaman (HBUKK) sebagai Lokasi Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) yang ke- 7 di daerah Kemaman.

Pusat pemuliharaan belangkas, Hatcheri Belangkas UMT Kuala Kemaman (HBUKK) telah dibangunkan oleh UMT di bawah Projek Translasional Belangkas UMT-KPT sejak tahun 2019 dan telah berfungsi sepenuhnya pada 20 Jun 2020.

HBUKK menjadi pusat pemindahan ilmu berkaitan belangkas yang pertama di Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang dikelolakan oleh Kumpulan Penyelidikan Belangkas UMT (HCRG) yang diketuai oleh pakar belangkas di Institut Bioteknologi Marin, UMT iaitu Prof. Dr. Noraznawati Ismail dan lima penyelidik lain. HBUKK telah dilawati lebih hampir 1,000 orang dikalangan komuniti setempat, pelancong tempatan dan luar negara yang datang untuk melihat, menyentuh serta mengetahui fakta sebenar tentang belangkas.

Dr. Noraznawati berkata, pemilihan Pantai Telaga Simpul sebagai lokasi pelepasan juvenil belangkas sangat bertepatan memandangkan kawasan itu merupakan salah satu habitat semulajadi belangkas di perairan Kemaman.

“Belangkas akan datang bertelur di sepanjang pantai ini apabila tiba musimnya iaitu pada bulan Mei hingga Oktober. Tambahan pula, kedudukan pantai ini yang tidak jauh daripada HBUKK memudahkan pelancong untuk datang melawat HBUKK dan menjalankan aktiviti pelepasan juvenil di Pantai Telaga Simpul.

“Dengan adanya program seperti ini diharapkan dapat memberi impak positif melalui peningkatan kadar populasi belangkas di perairan Kemaman. Selain itu, penganjuran ini sebagai program perintis bagi melahirkan Jurupandu Belangkas yang bertauliah melalui modul khas yang diperkenalkan HCRG UMT dan akan berkhidmat di HBUKK”. Katanya.

Selain itu, masyarakat setempat turut mendapat manfaat daripada limpahan ekonomi apabila Pantai Telaga Simpul bakal digazetkan sebagai kawasan pembiakan dan pemuliharaan belangkas manakala HBUKK dijadikan lokasi eko-pelancongan negeri Terengganu.

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu