UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

PKK UMT PERKUKUH SILATURAHIM, TEROKAI TASIK KENYIR

PKK UMT PERKUKUH SILATURAHIM, TEROKAI TASIK KENYIR

Sunday, 12/01/2020

Share This Article :

Tasik Kenyir merupakan destinasi pelancongan yang amat terkenal di Negeri Terengganu. Tasik Kenyir juga adalah tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara yang terbina hasil pembinaan Empangan Kenyir pada tahun 1985.

 

Tasik Kenyir yang terbentang melukiskan keindahan alam semulajadi memiliki seribu rahsia dan ia ibarat syurga bagi pencinta alam semula jadi.

 

Dikelilingi lebih 300 buah pulau yang pada asalnya ialah puncak bukit yang tidak ditenggelami air dengan tumbuhan subur hutan hujan tropika sambil menyaksikan pemandangan air tasik kehijauan, suasana mendamaikan ini antara terapi terbaik untuk menikmati ketenangan.

 

Selain menjadi lokasi tadahan air, Tasik Kenyir juga terkenal sebagai destinasi pelancongan dunia. Keindahan alam semulajadinya yang terdiri daripada tasik, jeram, air terjun, sungai yang kaya dengan spesies ikan air tawar, banjaran bukit, gunung, gua, hutan yang diliputi flora dan fauna eksotik menjadi khazanah yang sangat bernilai untuk diterokai.

 

Keunikan dan keindahan alam di Tasik Kenyir sentiasa menarik kehadiran pelancong tempatan dan juga pelancong luar negara.

 

Baru-baru ini, Pusat Komunikasi Korporat (PKK) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengadakan program pemantapan kerja berpasukan di Tasik Kenyir bagi mengukuhkan lagi jalinan ukhuwah serta mencaturkan strategi bagi menempuh tahun 2020 yang penuh cabaran.

 

Dikesempatan yang ada sepanjang dua hari satu malam berada di atas Houseboat, pelbagai aktiviti yang direncanakan dapat direalisasikan. Ada juga antara peserta yang berjaya mendaratkan ikan yang agak sukar untuk diperolehi di sungai-sungai kebanyakan.

 

Selain itu, aktiviti berkayak juga menjadi terapi untuk melengkapkan semangat kerja berpasukan. Berkayak memerlukan kebersamaan pergerakan dan fokus kepada matlamat yang hendak dituju.

 

Manakala sebelah malam pula, aktiviti santai sambil menikmati hidangan barbeku di Sungai Lasir. Keindahan malam di sana diiringi dengan alunan muzik yang dihasilkan oleh serangga hutan yang sukar didengar walaupun kawasan perkampungan. Suhu yang agak rendah menambahkan lagi lena tubuh yang keletihan di siang hari.

 

Pengarah PKK, Syirfan Indra Mitra Surya Hussin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih atas kejayaan penganjuran program kali ini.

 

“Alhamdulillah, program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik walaupun terdapat sebilangan staf yang tidak dapat turut serta. Terima kasih juga kepada Rozita Alias yang bertindak sebagai ketua program kerana berjaya mengaturkan segala aktiviti dengan baik. Apa yang diharapkan semoga PKK UMT akan lebih proaktif dan lebih kreatif dalam menghasilkan karya untuk meningkatkan imej UMT. Katanya.