UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT dan Komuniti Terokai “Dunia Di Bawah Laut: Cerita Dari Laut China Selatan”

UMT dan Komuniti Terokai “Dunia Di Bawah Laut: Cerita Dari Laut China Selatan”

Thursday, 16/06/2022

Share This Article :

Kuala Nerus, 12 Jun 2022– Membawakan tema “Dunia di Bawah Laut: Cerita dari Laut China Selatan” Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sekali lagi tampil menjayakan World Oceans Week (WOW) sebagai tanda sokongan terhadap kempen ‘World Oceans Day’ (WOD) yang disambut pada 8 Jun setiap tahun.

Matlamat utama WOD adalah membentuk kesatuan dalam menghargai sumbangan lautan kepada manusia dan alam, dan dalam masa yang sama membentuk tindakan bersama bagi memelihara lautan bagi masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang.

Menurut Profesor Dato` Dr. Mazlan bin Abd Ghaffar, Naib Canselor UMT, sambutan WOW peringkat UMT telah bermula pada 6 Jun lalu di Pantai Batu Buruk, dan minggu ini UMT meneruskan sambutan tersebut melalui Pusat Rujukan & Repositori (RRC) Laut China Selatan, INOSRRC@INOS Open Day 2022 akan berlangsung sehingga 16 Jun 2022 dan memberi peluang kepada komuniti serta pelajar-pelajar sekolah untuk sama-sama menerokai “Dunia Di Bawah Laut’.

“RRC diwujudkan untuk melengkapkan proses ingin tahu, penemuan dan pembelajaran tentang persekitaran marin melalui pengurusan spesimen dan pemindahan ilmu yang diperolehi dari spesimen yang dikaji oleh para penyelidik. Dari segi sejarah, RRC ditubuhkan sebagai Muzium Biodiversiti pada tahun 2004”.

Tambahnya, sebagai sebuah universiti yang mempunyai bidang tujahan dalam sains marin dan sumber akuatik, penyelidikan, pembentukan pengetahuan baru, pemindahan serta perkongsian ilmu di UMT sememangnya berkait rapat dengan persekitaran dan ekosistem akuatik”.

“Para pensyarah, penyelidik dan pelajar UMT akan berinteraksi rapat dengan organisma serta persekitaran bagi memahami proses ekologi, pengaruhnya kepada manusia dan kesan aktiviti manusia kepada alam. Ini memerlukan sebahagian spesimen sama ada haiwan, tumbuhan, tanah atau sedimen dibawa balik dan disimpan sebagai rujukan dan kajian pada masa hadapan”.

“Disinilah RRC memainkan peranan penting dalam menguruskan spesimen-spesimen ini kekal dalam keadaan yang terbaik supaya kajian dan rujukan oleh penyelidik dapat dilakukan secara berterusan”.

Ujarnya lagi sebahagian besar spesies-spesies yang berasal dari kawasan Malaysia disimpan di beberapa pusat repositori luar negara seperti di eropah, Amerika dan negara jiran. Dengan kata lain, banyak maklumat kekayaan semulajadi Malaysia berada di negara asing.

Rentetan itu, RRC sebenarnya memainkan khidmat negara yang sangat penting sebagai ‘perpustakaan’ yang menyimpan bukti fizikal kepelbagaian alam semulajadi Malaysia. Telah banyak penerbitan saintifik menggunakan spesimen yang disimpan di RRC.

RRC berusaha mewujudkan pentas pembelajaran yang menyeronokkan dan interaktif untuk pelajar, belia dan golongan dewasa. Semua ini bertujuan untuk mewujudkan kesedaran dan pengetahuan mengenai peranan dan fungsi RRC kepada masyarakat dan negara, serta potensi besar RRC untuk menjadi sebuah Pusat Repositori dan Rujukan alam semulajadi marin yang terkenal di dunia.

Aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan semasa RRC@INOS Open Day 2022 ini dapat memberi nilai tambah kepada semua pihak, khususnya para pelajar dan komuniti. Malah RRC sentiasa terbuka menerima kunjungan pelajar sekolah dan komuniti sekitar.

Sementara itu, Prof. Ts. Dr. Mohd Fadzil bin Mohd Akhir, Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), UMT berkata RRC mempunyai koleksi spesimen alam semulajadi dan sehingga kini RRC mengurus dan menyimpan hampir 50 ribu spesimen terdiri daripada spesimen zoologi (haiwan), botani (tumbuhan), geologi (sedimen dan fosil) dan juga genomik (untuk kajian genetik).

Lebih membanggakan, terdapat 70 spesimen yang dikelaskan sebagai ‘type’ spesimen iaitu spesimen yang digunakan untuk menamakan spesis baru dalam sains. Kesemua spesimen ini yang mempunyai nilai keseluruhan hampir RM7.5 juta.

Ujarnya lagi, pengurusan spesimen dan data di RRC juga adalah mengikut amalan antarabangsa berdasarkan kepada format National Park Service, USA yang digunapakai oleh banyak muzium alam semulajadi di pelbagai negara. RRC juga telah menaiktaraf pengkalan data dan kini menggunakan perisian Proficio yang mana turut digunapakai oleh Smitsonian Institution, USA.

Bagi menjayakan program ini, UMT berbesar hati mendapat sokongan dan kerjasama daripada Sustainable Ocean Alliance (SOA) dan UNIQLO. SOA merupakan satu komuniti global bagi golongan belia, usahawan, pakar dan penyelidik, yang mana semuanya bekerjasama untuk menyelesaikan cabaran yang dihadapi oleh lautan kita.

UMT turut teruja apabila UNIQLO yang merupakan jenama pakaian dari Jepun sudi melibatkan diri dengan masyarakat terutama di Terengganu untuk lebih cakna kepada kelestarian alam sekitar marin. Selain dari tajaan bagi program RRC@INOS Open Day, UNIQLO turut menyumbangkan mesin Plastic Upcyling bagi kitar semula plastik.

UMT bersedia untuk bekerjasama dengan UNIQLO dalam pelbagai aspek seperti mengurangkan jejak karbon dalam industri pakaian dan fesyen.

Turut hadir dalam majlis perasmian WOW pada pagi ini adalah Wakil dari UNIQLO Malaysia dan Sustainable Ocean Alliance, Pegawai-pegawai Utama UMT, pelajar-pelajar sekolah dan komuniti setempat.

Disediakan oleh:

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu